Melaka terus bersolidariti untuk Palestin

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PAYA RUMPUT 16 Februari – Buat julung kali, Melaka berjaya menganjurkan Program Solidariti Palestin Sempena Sambutan Minggu Al Quds Sedunia, malam tadi.

Program yang berlangsung di Masjid Cina Krubong, di sini, dihadiri kira-kira 1,000 umat Islam seluruh negeri.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, program itu merupakan sebahagian tanda sokongan dan komitmen Kerajaan Negeri dalam terus menunjukkan solidariti bersama saudara Islam di bumi Palestin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, sokongan dan solidariti perlu terus diberikan memandangkan umat Islam di sana masih menjadi mangsa rejim Zionis sehingga mengorbankan hampir 30,000 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Alhamdulillah buat julung kalinya, Melaka menjadi tuan rumah sambutan Minggu Al Quds Sedunia ini yang dianjurkan Majlis Ulamak UMNO Malaysia dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan Negeri dan pihak masjid.

“Pada program ini kita telah membawakan dua penceramah dari Palestin dan United Kingdom dan sambutan daripada umat Islam juga amat memberangsangkan.

“Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dan diharap kita sebagai umat Islam jangan sesekali melupakan nasib saudara kita di bumi Gaza dan Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Solidariti Palestin Sempena Sambutan Minggu Al Quds Sedunia di Masjid Cina, Krubong, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pengerusi Kesatuan Ulamak Palestin Di Asia Tenggara Syeikh Dr. Aahid Abu Ata dan Pengerusi Lembaga Pengarah Tower Bridge For Consultant And Training United Kingdom Datuk Ahmad Amir Ali.

Sementara itu, Dr. Mohd Khairuddin berkata, program berkenaan diharap dapat menyuntik semangat kepada umat Islam di Negeri Melaka dan Malaysia amnya untuk terus bersama memperjuangkan isu Palestin.

“Ini kerana masalah yang berlaku di Palestin masih belum berakhir. Jadi kita akan merancang dan cuba memperluaskan program-program solidariti seperti ini ke seluruh negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

471
Kongsi :
Previous post Usaha basmi kemiskinan tegar di KL, Melaka dan Negeri Sembilan capai 100 peratus – PM
Next post Bazar Ramadan, Aidilfitri Melaka sedang diselaras
Ubah saiz-+=