Melaka tidak benarkan aset kerajaan digunakan untuk berkempen – KM

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

ALOR GAJAH 3 November – “Kerajaan Negeri tidak membenarkan mana-mana parti politik menggunakan aset kerajaan untuk berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)”.

Tegas Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ketika menjawab pertanyaan sama ada Negeri Melaka membenarkan aset kerajaan digunakan semasa tempoh berkempen seperti ditetapkan Kerajaan Negeri Sembilan.

Beliau berkata Kerajaan Negeri mengikut akta yang telah ditetapkan yang mana semua parti tidak dibenarkan menggunakan aset kerajaan bagi tujuan berkempen semasa pilihan raya.

“Setahu saya ketika pilihan raya semua aset kerajaan tidak boleh digunakan, jadi saya ikut kepada itu…kalau Negeri Sembilan boleh menggunakan dewan ataupun aset-aset kerajaan, itu terserah kepada negeri itu sendiri.

“Tetapi saya mengikut kepada aktanya semua parti tidak dibenarkan menggunakan aset kerajaan, jadi di Melaka tidak, saya sendiri pun tidak akan menggunakan semua aset kerajaan.

“Gantung bendera parti, pemasangan poster dan sebagainya telah pun kita maklumkan tidak boleh menggunakan semua harta-harta kerajaan, kalau Negeri Sembilan nak buat itu hak mereka, kita gunakan saja kawasan yang dibenarkan, kawasan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan dewan terbuka di Kampung Orang Asli Bukit Payung di sini, hari ini.

photo_2022-11-03_12-09-12
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berucap pada sidang media selepas mengadakan lawatan di tapak dewan terbuka di Kampung Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin dan calon Barisan Nasional (BN) Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid.

Semalam Kerajaan Negeri Sembilan membenarkan parti politik menggunakan dewan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kegunaan berkempen pada PRU15.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan berkata ia dibenarkan dengan sewaan mengikut jam dan bukannya menyewa mengikut hari atau dipajak seminggu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2514
Kongsi :
Previous post Kota Tinggi dilanda banjir kilat, selepas Segamat
Next post Kenaikan kadar RMT berkuat kuasa Ahad ini – Radzi Jidin
Ubah saiz-+=