Melaka tuan rumah Hari Olimpik Sedunia
BANDARAYA MELAKA 13 Februari – Melaka bakal menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Olimpik Sedunia (World Olympic Day) yang dianjurkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Naib Presiden MOM Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, sambutan yang diadakan secara tahunan itu merupakan sebahagian daripada pengisian menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Katanya, sambutan itu dijangka akan diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan pada Julai depan.
“Kita menjangkakan sambutan Hari Olimpik Sedunia ini akan melibatkan 10,000 pengunjung membabitkan pelbagai pengisian program yang akan dimuktamadkan kelak.
“Jika tahun lalu, sambutan ini diadakan di Pulau Pinang, tahun ini Melaka akan menjadi tuan rumah dan insya-Allah, program yang hampir sama akan kita anjurkan.
“Pada masa sama, kita juga akan menyampaikan sumbangan kepada yang kurang bernasib baik, selain menjemput atlet-atlet negara yang pernah mengharumkan nama dalam sukan Olimpik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sambutan Kayuhan Basikal Sempena ‘The Spirit Of Olympism 2023 Fundraising Campaign di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden Persatuan Olimpian Malaysia Noraseela Mohd Khalid dan Pemegang Malaysia Book of Record sebagai rakyat Malaysia pertama menamatkan 10 Marathon Terbaik Dunia Alex Goh.
Mengulas mengenai program Spirit Of Olympism 2023 yang dianjurkan itu, Nur Azmi berkata, ia merupakan usaha terbaik dalam memperkenalkan wira-wira negara di Sukan Olimpik kepada generasi muda.
“Secara tidak langsung apabila program ini diadakan di Melaka, anak-anak muda dapat mengenali beberapa bekas atlet negeri ini yang pernah membawa nama negara di temasya sukan terbesar dunia seperti Datuk Soh Chin Ann, Datuk Mirnawan Nawawi dan lain-lain lagi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.