Ramai orang muda tak kenal atlet negara – Noraseela

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

BANDARAYA MELAKA 13 Februari – Persatuan Olimpian Malaysia mahu menyuntik kembali semangat orang awam terutamanya golongan muda dalam menyokong atlet dan bidang sukan di negara ini.

Presiden Persatuan Olimpian Malaysia (MOA), Noraseela Mohd Khalid berkata, ia berikutan ramai yang tidak menyedari bahawa sukan mampu menzahirkan nilai-nilai murni dan memupuk semangat cintakan negara.

Justeru, bekas pelari berpagar 400 meter negara itu bertekad mahu memastikan atlet mahupun bekas atlet kebangsaan yang pernah mewakili negara lebih dikenali dalam menyuburkan kembali semangat bersukan dalam kalangan rakyat negara ini.

“Tujuan utama kita di MOA menerusi program Spirit of Olympism Ride 2023 ini adalah lebih kepada membawa semula semangat sukan kepada orang awam khususnya generasi muda.

“Menerusi program seumpama ini kita bawakan sekali atlet untuk bersama ke depan dan berkongsi pengalaman dan semangat juang kesukanan itu sendiri kepada generasi kini.

“Hal ini kerana, ramai orang muda kini tidak mengenali atlet mahupun bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara sehingga ke peringkat Sukan Olimpik iaitu temasya sukan terbesar dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Program Sambutan Kayuhan Basikal Sempena ‘The Spirit Of Olympism 2023 Fundraising Campaign di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad; Pengarah Bahagian Khidmat Musaadah dan Pembangunan Belia Jabatan Ketua Menteri, Sha’ari Samsudin dan Pemegang Malaysian Book Of Records Kategori Menamatkan 10 Maraton Terbaik Dunia, Alex Goh.

photo1676285675
Presiden Persatuan Olimpian Malaysia, Noraseela Mohd Khalid berkongsi pengalaman dalam sesi perkongsian pada program Sambutan Kayuhan Basikal Sempena The Spirit Of Olympism 2023 Fundraising Campaign di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Bandaraya Melaka. Foto: MR. AZLI

Tambah Noraseela, bagi membangkitkan kembali semangat bersukan dalam kalangan orang muda, tindakan segera perlu dilakukan di peringkat akar umbi.

Jelasnya, sistem pendidikan perlu memainkan peranan dalam menyuntik minat di peringkat sekolah terhadap sukan dan salah satu faktor adalah menerusi pendedahan siapa atlet yang boleh dicontohi oleh golongan tersebut dalam bidang yang diminati.

“Kita di MOA akan membuat lebih banyak aktiviti, kempen yang memberi impak. Selain itu, kita juga akan berkolaborasi bersama organisasi lain bagi tujuan membawa sukan ke peringkat lebih tinggi.

“Dan pada saya apabila menceburi bidang sukan, ia akan memberi peluang lebih besar kepada individu atau golongan muda ini untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Dalam pada itu Noraseela turut memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi mempertingkatkan lagi semangat kenegaraan menerusi sukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4097
Kongsi :
Previous post Melaka tuan rumah Hari Olimpik Sedunia
Next post Medan uji adrenalin, atasi rasa gayat
Ubah saiz-+=