2,274 murid sekolah rendah Melaka terima bantuan persekolahan

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

LENDU 13 Februari – Seramai 2,274 murid sekolah rendah di negeri ini terpilih menerima bantuan persekolahan bagi sesi 2023.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, Kerajaan Negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi mengagihkan bantuan itu membabitkan kesemua daerah di bawah pecahan enam Parlimen di negeri ini.

Katanya, sebanyak 241 sekolah rendah akan menerima bantuan itu dan akan diagihkan secara berperingkat mengikut ketetapan waktu yang ditetapkan.

“Dari jumlah itu, sebanyak 38 buah sekolah rendah di Parlimen Masjid Tanah telah menerima inisiatif itu, hari ini, dengan jumlah seramai 372 murid dari lima Dewan Undangan Negeri di Parlimen ini.

“Bantuan sebanyak RM200 buat seorang pelajar telah diagihkan melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM74,400.

“Bagi 23 Dun yang lain ia akan diagihkan dan disempurnakan oleh wakil rakyat di Dun masing-masing secara berperingkat mengikut ketetapan waktu yang diperuntukkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Penyampaian Bantuan Persekolahan Kerajaan Negeri Melaka Sesi Akademik 2023 di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi, Datuk Rais Yasin; Adun Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Adun Taboh Naning, Zulkiflee Md Zin; Adun Kuala Linggi, Rosli Abdullah serta tetamu lain.

photo1676283165
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menyampaikan sumbangan kepada murid sempena Majlis Pelancaran Penyampaian Bantuan Persekolahan Sekolah Rendah Sumbangan Kerajaan Negeri Melaka Sesi Akademik 2023 di Dewan Kompleks Sukan Masjid Tanah. Turut bersama Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata kerajaan negeri tetap akan meneruskan bantuan persekolahan yang diperuntukkan di bawah Tapem sebagai program tahunan sejak ia diperkenalkan seawal tahun 2000.

Beliau berkata, perkara itu merupakan tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi menjaga kebajikan rakyat dari sudut pendidikan dan pada masa sama mengurangkan bebanan ditanggung ibu bapa mempersiapkan anak-anak untuk memasuki sesi baharu persekolahan.

“Malah bantuan kali ini merekodkan penambahan penerima seramai 200 orang di negeri ini membuktikan kebajikan rakyat B40 ini perlu dijaga berikutan keadaan ekonomi yang membuatkan ramai rakyat perlu dibela.

“Kita tidak boleh lepas pandang akan isu ini dan perlu memastikan semua rakyat yang memerlukan dibantu dengan apa cara demi memastikan kebajikan mereka dijaga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1933
Kongsi :
Previous post Tiga warga asing ditahan terlibat kes bunuh
Next post Melaka tuan rumah Hari Olimpik Sedunia
Ubah saiz-+=