WRUR TANJUNG BIDARA: HEBAT TERIMA LEBIH 124 ADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

TANJUNG BIDARA 18 September – Sebanyak 124 aduan rakyat diterima sepanjang Program Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Pantai Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program yang berlangsung selama tiga jam itu menerima kehadiran lebih 462 pengunjung.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, antara aduan yang paling banyak diterima membabitkan isu kebajikan, keperluan asas, individu sakit terlantar selain permohonan berkaitan lampu jalan, penurapan jalan serta baik pulih rumah.

“Aduan menarik perhatian saya adalah melibatkan isu kebajikan, keperluan asas, orang sakit terlantar, selain permohonan lampu jalan dan menurap jalan.

“Kita teliti permintaan ini, menyusunnya mengikut aturan serta peruntukan yang akan kita sempurnakan apabila tiba masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Program HEBAT sempena Program WRUR DUN Tanjung Bidara di Pantai Tanjung Bidara.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, menerusi HEBAT keresahan dan aduan rakyat bukan sekadar didengar, malah diperhalusi untuk membolehkan kerajaan mengambil tindakan sewajarnya.

Jelasnya, data dan aduan dikumpulkan menerusi program itu turut menjadi panduan kepada Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti kawasan yang memerlukan perhatian terutama melibatkan isu kerosakan jalan dan kemudahan awam.

“Jadi kita tahu di mana jalan rosak dan di mana yang memerlukan perhatian. Sekiranya kita dapat menyelesaikan aduan ini, kita akan mencapai taraf ‘Approval Index’ Rakyat pada peringkat lebih daripada 75 peratus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post MELAKA TERUSKAN PENDEKATAN ‘NON-PROTOCOL GOVERNMENT’ – AB RAUF
Next post LAMPU ISYARAT BAHARU LEGAKAN PENDUDUK PENGKALAN BALAK