Melaka United cipta sejarah ke separuh akhir Piala Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) melakar sejarah baharu apabila berjaya menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia pada edisi ke-100 tahun ini.

Kemenangan tipis 2-1 ke atas Sabah malam tadi, cukup untuk membantu kemenangan skuad Hang Tuah dengan agregat 3-1, sekali gus menamatkan penantian 38 tahun pasukan mara ke separuh akhir selepas kali terakhir melakukannya pada 1983.

Dalam aksi di Stadium Hang Jebat itu, tuan rumah tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan selepas Adriano berjaya menyumbat masuk gol pada minit ke-3.

Gol itu terhasil menerusi satu rembatan kaki kiri deras dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Sabah.

Selepas itu, Melaka United terus menguasai perlawanan dan hampir menambah gol kedua pada minit ke-26

Malangnya, Adriano yang menerima umpanan Sony Norde melakukan penyudah kurang kemas membuatkan sepakannya sedikit tersasar di kiri pintu gol.

Berbaki enam minit separuh masa pertama, giliran Khairul Anwar Shahrudin pula mendapat peluang keemasan.

Namun sekali lagi gagal disempurnakan apabila sepakan lemahnya berjaya diselamatkan.

Keputusan separuh masa pertama berakhir dengan agregat jaringan 2-0 memihak tuan rumah.

Di babak kedua, Melaka United terus garang memburu gol apabila memperoleh peluang menerusi Adriano hanya seminit selepas perlawanan bersambung.

Penyerang import Brazil itu sekali lagi melakukan percubaan dari luar kotak penalti, namun penjaga gol Sabah kelihatan lebih bersedia menyelamatkan gawangnya.

Percubaan demi percubaan yang dilakukan anak buah Zainal Abidin Hassan akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-78.

Adriano sekali lagi menjadi watak penting apabila melorongkan bola yang kemudiannya disudahkan Norde.

Meskipun Sabah berjaya menjaringkan gol saguhati di minit akhir permainan menerusi Risto Mitrevski, namun kemenangan mutlak dengan agregat 3-1 kekal memihak Melaka United selepas pengadil meniupkan wisel penamat.

Kemenangan bersejarah itu digamatkan lagi dengan tepukan dan sorakan gemuruh ribuan penyokong Melaka United yang hadir ke stadium bagi memberikan sokongan.

Di separuh akhir, Melaka United dijadual bertemu Kuala Lumpur City FC yang berjaya menewaskan Selangor FC dalam satu lagi aksi suku akhir di Cheras.

Aksi separuh akhir pertama akan berlangsung pada 22 Nov dan separuh akhir kedua pada 26 Nov ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1301
Kongsi :
Previous post Profil calon Ketua Menteri PN Melaka Mas Ermieyati
Next post Pengiktirafan kepada golongan wanita – Mas Ermieyati
Ubah saiz-+=