Sorting by

×

MENARA TAMING SARI PROMOSI MELAKA LEBIH MELUAS

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDA HILIR 25 Oktober – Menara Taming Sari memainkan peranan penting dalam mempromosikan Melaka secara lebih meluas melalui kolaborasi dengan pelbagai pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan berkata, ia dapat dilihat menerusi penganjuran MTA Kaki Race 2025 yang menawarkan hadiah lumayan bernilai RM20,000 keseluruhan kepada pemenang.

Katanya, pertandingan itu membawa keunikan kerana ia membuka peluang kepada peserta mengenali Melaka dengan lebih dekat, di samping mempromosikan keunikan negeri bersejarah ini.

“Apabila adanya kolaborasi menerusi acara pelancongan menarik seperti ini, ia dapat membantu mempromosikan Melaka secara lebih meluas dan selari dengan hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Lebih menarik, pertandingan ini telah dimenangi oleh peserta dari Kuala Lumpur dan ia membuktikan mereka yang dari luar Melaka kini semakin mengenali dan menjadikan negeri ini dekat di hati mereka.

“Jadi ia membuktikan bahawa acara-acara pelancongan seperti ini dapat mempromosikan bukan sahaja Menara Taming Sari, tetapi keseluruhan ekosistem pelancongan Melaka itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Penutup MTA Kaki Race 2025 yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di Menara Taming Sari, di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Melaka (MTA) Madelina Kuah Wey Lee memaklumkan, program tersebut telah disertai seramai 265 peserta membabitkan 53 kumpulan.

Menurutnya, program berkonsepkan gabungan Amazing Race dan pencarian harta karun itu memerlukan peserta menyelesaikan misi yang diberi di 10 hingga 12 produk pelancongan negeri ini membabitkan jarak sejah 5 hingga 8 kilometer.

“MTA Kaki Race pernah diadakan pada 2015, 2016 dan 2018 namun ia terhenti seketika dan tahun ini kita bawakan kembali memandangkan tahun suasana pelancongan Melakan cukup hebat dan rancak.

“Kita cukup gembira kerana program ini dapat menyerlahkan keunikan yang ada, di samping membantu peserta mengenali Melaka dengan lebih dekat,” katanya.

Juara MTA Kaki Race 2025 membawa pulang wang tunai RM7,500 diikuti RM4,000 bagi tempat kedua dan ketiga RM3,000, di mana hadiah sehingga tempat ke-12 ditawarkan kepada pemenang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

933
Kongsi :
Previous post PELANCONGAN MELAKA ‘TAK RILEKS’ HINGGA HUJUNG TAHUN