Menyuburkan patriotisme pada negara tidak bermusim, tiada bernoktah

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

APAKAH erti kenegaraan? Dalam penjelasan yang mudah jika seseorang rakyat Malaysia meletakkan pendirian bahawa dia tidak punya apa-apa tanggungjawab untuk ditunaikan kepada negara, individu ini memilih untuk tidak membayar cukai, hidup bersama kaumnya sahaja tanpa kaum lain atau mungkin tidak mahu budaya lain ditonjolkan sama sekali kecuali budayanya sahaja.

Tetapi realiti sebenar rakyat Malaysia tidak bersikap seperti itu, kita saling menerima dan meraikan kepelbagai setiap kaum di sini.

Di situlah letaknya erti bernegara kerana ia memperlihatkan setiap daripada kita perlu berkorban supaya kecintaan kepada watan diutamakan berbanding yang lain.

Semangat pengorbanan itulah yang juga ditunjukkan pejuang kemerdekaan dahulu untuk membolehkan kita menikmati keadaan aman dan selesa seperti sekarang.

Tanpa pengorbanan, tiadalah kemerdekaan dan tanpa kemerdekaan, kemajuan tidak bermakna dan hidup menjadi tidak bererti.

Dengan selesainya sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini ia secara tersuratnya menandakan bahawa sambutan Bulan Kebangsaan telah berakhir setelah ia dilancarkan secara rasmi pada 7 Ogos lalu.

Pelbagai pengisian yang diaturkan Kerajaan sepanjang Bulan Kebangsaan lalu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyemarakkan rasa kecintaan rakyat Malaysia kepada watan bertuah ini serta menjentik jiwa-jiwa kita untuk menginsafi dan menghayati makna besar kemerdekaan yang dikecapi negara sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Tanpa adanya lagi program-program khas seperti ini kerana telah berakhirnya sambutan Bulan Kebangsaan, ia tidak bermaksud sebarang usaha untuk terus memupuk semangat patriotisme kepada masyarakat kita khususnya generasi muda harus terkubur atau dihentikan.

Menyuburkan patriotisme tidak seharusnya menjadi aktiviti yang bermusim kerana kita mahukan rakyat Malayia sentiasa cintakan negara sepanjang masa.

Tetapi ia bukanlah terletak sepenuhnya di atas pundak Kerajaan semata-mata, ia adalah tanggungjawab semua pihak untuk digalas bersama seperti badan korporat, pemimpin masyarakat, pendidik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan yang paling dekat adalah institusi keluarga.

Merenung jauh ke hadapan, apabila semakin bertambah usia negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan di tahun-tahun mendatang bermakna pada waktu itu kita juga semakin kita kehilangan pencerita kisah-kisah kemerdekaan negara.

Ini kerana insan-insan yang berjuang bermandikan keringat dan darah serta mempertaruhkan nyawa dihujung senapang musuh ini sudah tiada lagi di dunia untuk bercerita dan berkongsi pengalaman mereka yang amat berharga tersebut.

Penulis merasakan bahawa kisah-kisah dari veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melalui zaman sebelum dan awal kemerdekaan inilah yang generasi semasa dan hadapan perlu dengar dan hayati kerana darinya akan terbit rasa keinsafan dan kecintaan pada negara.

Penulis mencadangkan untuk agensi Kerajaan yang bersesuaian untuk mula mengumpulkan dan membukukan kisah-kisah dari veteran ATM dan PDRM sebanyak yang mungkin dan kemudiaannya diedarkan di seluruh perpustakaan sekolah, awam dan institusi pendidikan tinggi.

Tujuan murninya agar ia boleh menjadi bahan bacaan rujukan yang bermanfaat untuk membugar patriotisme sepanjang masa tanpa menunggu Bulan Kebangsaan menjelma.

 

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

*Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1144
Kongsi :
Previous post Penambahbaikan operasi LRT: Lima langkah jangka pendek telah dilaksanakan- Wee
Next post 27 kementerian selesai gulung usul menjunjung kasih titah Agong
Ubah saiz-+=