Mesej tular ‘tidak perlu hantar anak ke sekolah’ adalah palsu

AYER KEROH 15 Julai – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka tidak pernah mengeluarkan amaran susulan kenyataan tular menyatakan ibu bapa pekerja salah sebuah industri di Melaka tidak perlu menghantar anak ke sekolah dan mengambil tindakan kuarantin di rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Rahmad Mariman berkata, satu mesej tular telah disebarkan di aplikasi Whatsapp telah menimbulkan kekeliruan susulan amaran buat ibu bapa yang bekerja di sebuah kilang di Melaka tidak perlu menghantar anak ke sekolah.

“Mesej yang disebarkan di Whatsapp dan aplikasi media sosial lain melarang ibu bapa yang bekerja di kilang itu selain sesiapa yang mempunyai kontak rapat dengan pekerja kilang tersebut diarahkan melakukan tindakan tersebut.

“JKN Melaka tidak pernah mengeluarkan arahan tersebut. Susulan kes COVID-19 dikesan kepada pekerja kilang tersebut aktiviti pengesanan kontak telah dijalankan.

“Hasil keputusan mendapati tiada risiko jangkitan pendemik tersebut dalam kalangan pekerja kilang dan tiada keperluan kuarantin terhadap keluarga dan anak-anak pekerja,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan petang tadi.

Pada masa sama, Rahmad menasihatkan agar orang ramai merujuk kepada maklumat kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan negeri untuk maklumat yang sahih.

“Hanya kenyataan KKM dan Jabatan Kesihatan negeri perlu dijadikan rujukan rasmi dan untuk sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness and Responsive Center (CPRC) Melaka di talian 06-2356999/6851 atau emel di [email protected],” tambahnya.

Views:

2
Previous post Bantu golongan B40 Melaka dapatkan pinjaman
Next post Pak Wan masih Ketua BERSATU Melaka