Bantu golongan B40 Melaka dapatkan pinjaman

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 15 Julai – Tabung Dana Hartanah Bumiputera yang diuruskan Melaka Finance House (MFH) menjadi antara alternatif kerajaan negeri untuk membantu golongan B40 di Melaka mendapatkan pinjaman.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, antara jenis pinjaman yang disediakan ialah pinjaman perumahan disamping pihaknya turut bercadang untuk memperluaskan pinjaman tersebut bagi membantu usahawan-usahawan mikro pasca pandemik Covid-19.

“Sejak diperkenalkan, MFH telah menerima sebanyak 122 pertanyaan berhubung Pinjaman Dana Hartanah Bumiputera dan 72 daripadanya memohon untuk pembinaan rumah di atas tanah sendiri.

“Antara cadangan-cadangan lain untuk penambahbaikan Pinjaman Dana Hartanah Bumiputera adalah menaikkan amaun Pinjaman Perumahan dari RM50,000 ke RM80,000 berikutan harga rumah yang semakin tinggi.

“Di samping itu, akibat penularan Covid-19, ramai usahawan-usahawan Bumiputera yang memerlukan bantuan kewangan untuk terus bertahan. Oleh itu, saya bercadang untuk Pinjaman Dana Hartanah Bumiputera ini diperluaskan kepada Usahawan Mikro,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan surat tawaran Pinjaman Dana Hartanah Bumiputera MFH di Seri Negeri, petang tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Melaka Finance House Berhad (MFH) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Dana Hartanah Bumiputera Datuk Seri Dr. Hasim Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif MFH Datuk Mashitah Ismail.

Dalam majlis itu, seramai 15 orang peminjam telah menerima Surat Tawaran Pinjaman Dana Hartanah Bumiputera untuk tujuan pinjaman perumahan.

Menurut Sulaiman, penerima surat tawaran berkenaan merupakan kumpulan pertama bagi penyaluran pinjaman perumahan menerusi tabung tersebut.

“Kerajaan negeri menasihatkan penerima kumpulan pertama ini supaya menjadi peminjam contoh yang beramanah dalam membuat pembayaran balik agar kerajaan negeri dapat terus memberikan inisiatif-inisiatif lain kepada golongan B40 khususnya dalam membantu lebih ramai rakyat untuk memiliki kediaman dan hartanah sendiri,” katanya.

Views:

1344
Kongsi :
Previous post Hasilkan lateks untuk tingkatkan pendapatan
Next post Mesej tular ‘tidak perlu hantar anak ke sekolah’ adalah palsu
Ubah saiz-+=