Hasilkan lateks untuk tingkatkan pendapatan

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat
AMIRUL Rasyidin

AYER LIMAU 15 Julai – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Melaka meminta 9,723 pekebun kecil getah di negeri ini mengeluarkan susu getah atau lateks kerana ia melonjakkan pendapatan 30 peratus.

Asalkan mereka sanggup melakukan anjakan pengeluaran, RISDA bersedia membawa Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (MARDEC) membeli lateks daripada pekebun kecil, sekali gus membantu pengeluaran lateks negara.

Pengarahnya, Amirul Rasyidin Hasan Basri berkata, pekebun kecil tidak boleh lagi bergantung kepada pengeluaran getah beku sebagai produk utama kerana bahan berkenaan tidak mampu memperoleh permintaan tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Pengeluar sarung tangan getah, kondom dan seumpamanya amat memerlukan lateks tetapi negara kita tidak mampu mengeluarkan lateks untuk memenuhi permintaan hingga menyebabkan mereka mengimportnya dari Thailand.

“Getah beku lebih banyak digunakan dalam pembuatan bahan selaian sarung tangan dan konodm berbanding lateks yang mendapat permintaan lebih tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya selepas program Ekplorasi Amalan Pertanian Baik (APB) anjuran Pejabat RISDA Stesen Masjid Tanah di Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina dekat sini hari ini.

Pada program itu, kira-kira 40 pekebun kecil yang dibahagikan kepada empat kumpulan bersaing untuk mempamerkan kemampuan menoreh, membaja, meracun dan menjawab soalan berkaitan RISDA.

Amirul Rasyidin berkata, pekebun kecil di Sarawak dan Kedah yang mempraktikkan pengeluaran lateks membuktikan mereka mampu menikmati pendapatan lebih tinggi berbanding pekebun yang mengeluarkan getah beku.

“Kebanyakan pekebun kecil sudah selesa dengan kaedah pengeluaran getah beku, iaitu toreh dan tinggalkan pokok selama dua atau tiga hari sebelum mengutip hasil untuk dijual kepada peraih berlesen.

“Kami boleh meminta MARDEC di Tapah, Perak yang mempunyai kemampuan mengumpulkan lateks untuk membeli lateks daripada pekebun kecil asalkan mereka ingin mengusahakan pengeluaran lateks,” katanya.

Beliau menegaskan, tidak mustahil untuk pekebun kecil kembali mengeluarkan lateks sebagai produk utama seperti yang berlaku pada tahun 1970-an dan 1980-an kerana RISDA bersedia membantu.

Terdahulu, ketika berucap, beliau menjelaskan, kebanyakan pekebun kecil mendakwa RISDA tidak berbuat apa-apa untuk menaikkan harga getah beku sekarang yang hanya antara RM1.80 hingga RM1.90 sekilogram sedangkan hakikatnya, agensi berkenaan tidak mempunyai kemampuan mengawal harga.

Sebaliknya, harga getah ditentukan oleh permintaan dan penawaran antarabangsa manakala RISDA bertanggungjawab memajukan pekebun kecil dalam kaedah penanaman dan pengeluaran getah negara.

Sehubungan itu, beliau meminta pekebun kecil sentiasa mengikuti perkembangan semasa, khususnya mengenai program anjuran RISDA bagi membantu meningkatkan pengeluaran getah asli.

Views:

546
Kongsi :
Previous post Covid-19: Risiko penularan wabak di PSS banjir
Next post Bantu golongan B40 Melaka dapatkan pinjaman
Ubah saiz-+=