
MESRA KERAJAAN TEMPATAN TAWAR PENGURANGKAN KOMPAUN, ELAK RAKYAT TERBEBAN TUNGGAKAN
AYER KEROH 30 September – Kebajikan rakyat terus diberikan perhatian menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Kerajaan Tempatan merangkumi usaha meringankan beban bayaran, meningkatkan pematuhan serta memudahkan penyelesaian kompaun atau saman.
Menerusi pendekatan itu, Kerajaan Negeri membuka ruang kepada rakyat menyelesaikan tunggakan kompaun dan saman pada kadar lebih rendah dengan pengurangan antara 70 hingga 80 peratus yang dilaksanakan oleh semua empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini.
Pelaksanaan inisiatif itu di Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) melibatkan pengurangan bayaran 1,754 kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM140,745.
Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, nilai asal kompaun dan saman berkenaan adalah RM176,250, iaitu pengurangan keseluruhan berjumlah RM35,505.
“Inisiatif ini memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dengan mengurangkan jumlah bayaran yang perlu ditanggung bagi menyelesaikan kompaun tertunggak.
“Pengurangan sehingga 70 hingga 80 peratus memberi peluang kepada orang awam untuk menjelaskan tunggakan pada kadar yang lebih rendah, sekali gus mengurangkan beban kewangan mereka,” katanya.
Menurutnya, tawaran itu turut menjadi galakan kepada pemilik kompaun untuk menyelesaikan tunggakan, sekali gus membantu MPJ meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan serta mengurangkan jumlah kompaun tertunggak.
“Sepanjang kempen berkenaan, MPJ turut merekodkan peningkatan pembayaran kompaun sebanyak 60 hingga 70 peratus berbanding bulan biasa.
“Peningkatan pembayaran itu menunjukkan orang awam mengambil peluang yang disediakan untuk menyelesaikan tunggakan pada kadar lebih rendah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

