Microsoft, Amazon, Google tunjuk minat terlibat majukan Malaysia dalam bidang teknologi maklumat

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

JOHOR BAHRU 15 Ogos – Gergasi teknologi dunia, Microsoft, Amazon dan Google menunjukkan minat untuk bersama-sama memajukan Malaysia dalam bidang teknologi maklumat sekali gus menjadikan negara sebagai pusat serantau bidang berkenaan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, minat berkenaan disampaikan kepada beliau menerusi pertemuan bersama pimpinan pihak berkenaan, baru-baru ini.

“Saya kira ramai yang tunjuk minat membantu Malaysia. Baru-baru ini pimpinan Microsoft, Amazon dan Google berjumpa dengan saya menyatakan kesediaan mereka untuk bersama-sama terlibat dalam proses  memajukan Malaysia dalam bidang teknologi maklumat dan lain-lain lagi supaya Malaysia jadi pusat serantau.

“Tetapi, pertama sekali kita kena pastikan negara kita sudah ada kesalinghubungan (connectivity) terbaik. Isu pokok yang biasa dibangkitkan adalah tiada kesalinghubungan. Internet kita tidak efisyen,” katanya pada Sesi Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan Johor, di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, turut memetik kisah seorang pelajar perempuan di Sabah yang terpaksa memanjat pokok dan bermalam demi mendapatkan capaian internet, yang menunjukkan Malaysia tidak mencapai tahap capaian internet kompetitif.

Beliau berkata komitmen kerajaan terhadap pembangunan internet sememangnya sudah ada dan sekarang tiba masanya untuk melangkah ke hadapan bagi mengembangkan capaian.

Terdahulu, Jun lalu, tular video seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin,18, memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah demi mendapatkan talian internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian mendapat reaksi positif netizen.

Veveonah memuat naik video itu pada 12 Jun di YouTube, dan tidak menyangka menerima lebih 150,000 tontonan dan dibanjiri reaksi serta komen positif selain turut dikongsi oleh UMS.

Menerusi video terbaharu dimuat naik pada 14 Jun lalu, Veveonah yang berasal dari Kampung Sapatalang, turut gembira dengan sokongan dan motivasi yang diterimanya susulan perkongsian video berkenaan.

— BERNAMA

Views:

305
Kongsi :
Previous post Aktiviti memancing di Pantai Puteri kembali meriah
Next post ARMADA Masjid Tanah perlu beri kerjasama kepada parti lain
Ubah saiz-+=