ARMADA Masjid Tanah perlu beri kerjasama kepada parti lain

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

LENDU 15 Ogos – Ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bahagian Masjid Tanah wajar memberikan kerjasama penuh kepada parti lain, jika diarahkan berbuat demikian ibu pejabat BERSATU.

Arahan itu diberikan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian berkenaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika berucap merasmikan Persidangan ARMADA bahagian itu di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, di sini hari ini.

Beliau menegaskan, ia penting bagi menjamin kelangsungan perjuangan parti, terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), selain memastikan BERSATU tetap dominan dalam pembentukan kerajaan.

“Jika ada arahan daripada ibu pejabat supaya kita bekerjasama dengan mana-mana parti lain, saya mahu ahli ARMADA mematuhi arahan itu demi kelangsungan perjuangan parti,” katanya.

Persidangan itu dihadiri kira-kira 1,200 ahli ARMADA dari 10 cawangan. Turut hadir, Timbalan Ketua BERSATU bahagian Nazri Ramli dan Ketua ARMADA BERSATU bahagian Abdul Iman Jamaluddin.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dilaporkan berkata, Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) yang mendukung Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar atau ‘the grand coalition.’

“InsyaAllah, penyertaan BERSATU dalam MN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya dalam rakaman ucapan menerusi Facebook yang ditujukan kepada ahli BERSATU sempena persidangan ARMADA, Srikandi dan Bahagian BERSATU hari ini.

Mas Ermieyati juga menegaskan, dalam politik, bukan ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana atau Sarjana Muda yang menjadi ukuran kejayaan, sebaliknya pengalaman dan kemampuan untuk tidak menentang arus menjadi aset utama untuk mengecapi kejayaan.

Katanya, tiada gunanya ahli politik bermegah-megah dengan PhD yang ada padanya sedangkan dia tidak mahu menimba pengalaman dari bawah sebelum meniti tangga perjuangan yang penuh liku dan cabaran.

Beliau menegaskan, sebagai ahli ARMADA yang baharu setahun jagung mengalami sepak terajang dalam politik, mereka harus sentiasa sanggup belajar daripada pihak yang sudah lama menimba pengalaman dalam berpolitik bagi memastikan mereka tidak terus ‘menelan apa yang manis dan membuang apa yang pahit.

“Dalam politik, pengalaman dan pengetahuan adalah ilmu paling berguna dan saya sendiri sudah 20 tahun dalam berpolitik serta bersedia menurunkan ilmu berpolitik itu kepada ARMADA asalkan ahli ARMADA sedia untuk menimba ilmu,” katanya.

Sehubungan itu, ARMADA harus sedia belajar selok-belok dalam politik dan jika sudah memegang jawatan, jangan sekadar memegang jawatan, sebaliknya harus bekerja kuat untuk parti, katanya.

Views:

322
Kongsi :
Previous post Microsoft, Amazon, Google tunjuk minat terlibat majukan Malaysia dalam bidang teknologi maklumat
Next post Seramai 129 individu ditahan ingkar arahan PKPP
Ubah saiz-+=