PENGALAMAN MELAKA URUS TAPAK WARISAN JADI RUJUKAN

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

BANDA HILIR 30 September – Pengalaman Melaka mengekalkan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO menjadi rujukan Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) dalam memperkukuh pengurusan dan pemuliharaan aset warisan di Johor.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah berkata, pengalaman Melaka termasuk proses mendapatkan pengiktirafan UNESCO, struktur pengurusan serta pendekatan pemuliharaan dikongsikan menerusi sesi lawatan dan perkongsian ilmu bersama Yayasan JCorp.

Katanya, perkongsian itu turut merangkumi pelaksanaan projek pemuliharaan dan pembangunan aset warisan serta penglibatan pelbagai pihak bagi memastikan khazanah sejarah terus dipelihara dan dapat dimanfaatkan generasi akan datang.

“Menerusi lawatan ini, kita turut berkongsi cabaran yang dihadapi dalam memastikan warisan terus dipelihara dan diurus dengan baik, termasuk aspek pemuliharaan, pembangunan serta penglibatan pelbagai pihak,” katanya.

Lawatan dan sesi pembelajaran itu berlangsung pada 28 September di Bangunan Mahkamah Lama sebelum diteruskan dengan sesi perkongsian di Muzium Sejarah dan Etnografi.

Menurut Erne, lawatan berkenaan bertujuan memberi pendedahan serta menjadi penanda aras kepada Yayasan JCorp dalam aspek pengurusan, pemuliharaan dan pembangunan aset warisan.

“Sesi ini turut menjadi platform pertukaran ilmu dan pengalaman antara kedua-dua negeri dalam usaha memperkukuh pengurusan warisan serta memastikan aset bernilai sejarah terus dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

355
Kongsi :
Previous post DUN AYER LIMAU: AGAMA SUBUR, PERPADUAN MEKAR