
DUN AYER LIMAU: AGAMA SUBUR, PERPADUAN MEKAR
AYER LIMAU 30 September – Aspek keagamaan dan kerohanian menjadi antara asas penting dalam memastikan pembangunan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau berkembang secara seimbang, selain terus menyuburkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pembangunan aspek keagamaan sentiasa diberi perhatian bukan sahaja membabitkan umat Islam, malah turut merangkumi rumah ibadat masyarakat bukan Islam.
Menurutnya, DUN Ayer Limau kini mempunyai sembilan masjid dan masing-masing sebuah tokong serta kuil yang menjadi antara wadah penting dalam menyemarakkan kehidupan beragama serta memupuk keharmonian masyarakat setempat.
Katanya, bagi umat Islam, pengimarahan masjid dan surau turut diperkasa menerusi pelbagai program keagamaan serta majlis ilmu yang dilaksanakan secara berterusan di kawasan berkenaan.
“Antara perkara yang saya berikan penekanan adalah membudayakan amalan membaca al-Quran supaya umat Islam mengenal dan memahami isi kalam Allah yang sebenarnya amat berguna dan mengandungi pelbagai maksud yang tersirat.
“Sepanjang Ramadan khususnya di DUN Ayer Limau, kita akan menganjurkan aktiviti khatam al-Quran dengan melibatkan umat Islam daripada segenap lapisan usia. Al-Quran adalah penyuluh hidup, menjadi panduan dan menguatkan aspek kerohanian bagi umat Islam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, aktiviti keagamaan di DUN berkenaan dilaksanakan secara konsisten termasuk melalui program sempena bulan Ramadan dan Sambutan Maulidur Rasul.
Katanya, penganjuran program keagamaan turut diselitkan dengan aktiviti kemasyarakatan bagi mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
“Contohnya, bersempena Sambutan Maulidur Rasul tahun lalu kita menganjurkan Program Ziarah Kasih yang melibatkan 100 rumah di 17 kampung sekitar DUN Ayer Limau.
“Kita bukan sekadar singgah untuk menyampaikan sumbangan dan bertanya khabar, tetapi menyantuni rakyat menerusi pendekatan yang unik,” katanya.
Menurutnya, Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Peringkat DUN Ayer Limau yang dianjurkan pada Mac lalu turut berlangsung dalam suasana penuh keberkatan dengan kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman.
Dalam pada itu, Hameed berkata, kemudahan sedia ada berupa sembilan masjid ketika ini dilihat mencukupi untuk menampung keperluan ibadah penduduk di DUN berkenaan.
“Alhamdulillah, setakat ini jumlah keseluruhan sembilan masjid cukup untuk menampung dan menyediakan suasana ibadah yang selesa buat penduduk di DUN Ayer Limau.
“Tidak ada cadangan untuk menambah atau membina masjid baharu, namun kita sentiasa merancang dan kalau ada keperluan, kita akan usaha realisasikan,” katanya.
Dalam aspek perpaduan pula, Hameed berkata, beliau sentiasa berdampingan dengan pemimpin serta pengurusan rumah ibadat daripada pelbagai agama bagi memastikan keperluan mereka turut diberi perhatian.
Katanya, sokongan diberikan kepada sebarang aktiviti yang mampu menyuburkan perpaduan dan memperkasakan semangat toleransi antara kaum mengikut kesesuaian agama masing-masing.
“Asalkan objektifnya adalah demi menyuburkan perpaduan dan memperkasakan semangat toleransi antara kaum, saya pasti menyokong aktiviti yang mereka laksanakan mengikut agama masing-masing.
“Bukan sekadar jumpa dan tanya jika ada masalah, tetapi kita juga bantu dengan menyalurkan keperluan mengikut kesesuaian semua institusi ini,” katanya.
Menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Limau yang berlangsung baru-baru ini, sebanyak RM13,500 disalurkan kepada masjid-masjid dalam DUN berkenaan, manakala tokong dan kuil masing-masing menerima peruntukan RM1,500.
Hameed berkata, sumbangan itu diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Sumbangan berkenaan disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Pembukaan Program WRUR DUN Ayer Limau Masjid Tanah: Kampung Kita di Taman Datuk Setia, Ramuan China Besar, Masjid Tanah pada 6 September lalu.
Menurut Hameed, pendekatan menyantuni semua institusi agama tanpa mengira latar belakang itu selari dengan semangat kebersamaan masyarakat Ayer Limau yang mengutamakan keharmonian serta kepentingan bersama.
Katanya, kekuatan masyarakat bukan hanya terletak pada pembangunan fizikal, sebaliknya turut bergantung kepada nilai kerohanian, sikap saling menghormati dan semangat kekitaan yang terus dipupuk dalam kehidupan bermasyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

