
TOK RAUF BERKHIDMAT SEPENUH HATI: PIMPIN MELAKA, JAGA TANJUNG BIDARA
TANJUNG BIDARA 30 September – Menjadi seorang Ketua Menteri dan pada masa sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara bukan dua tanggungjawab yang perlu dibahagikan bagi Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Sebaliknya, beliau melihat kedua-dua amanah itu sebagai tanggungjawab yang saling melengkapi, dengan setiap masa dan ruang yang ada digunakan untuk memberi khidmat kepada rakyat tanpa mengira kawasan.
“Tak ada beza (menjadi Ketua Menteri dan wakil rakyat kawasan). Ini kerana Ketua Menteri juga adalah Adun dan kedua-duanya tetap berpaksikan kepada amanah dan tanggungjawab untuk membela rakyat.
“Bagi saya sama sahaja. Ab Rauf ini sama ada seorang Ketua Menteri atau seorang wakil rakyat mewakili DUN Tanjung Bidara, dia tak perlu bahagikan masa, sebaliknya terus berkhidmat dengan sepenuh hati demi rakyat,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.
Menurut Ab Rauf, kedudukan sebagai Ketua Menteri tidak menghalang beliau untuk terus turun padang dan melihat sendiri keadaan serta keperluan rakyat di Tanjung Bidara.
“Kalau saya boleh pergi melawat tempat orang lain sebagai Ketua Menteri, saya boleh melawat tempat saya sebagai saya hadir. Maknanya tak ada isu di situ,” katanya.
Beliau berkata, tanggungjawab sebagai pemimpin perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa menjadikan jawatan atau kawasan sebagai batas kepada usaha mendekati rakyat.
Menurutnya, setiap kunjungan dan program yang dihadiri juga memberi peluang untuk melihat sendiri keadaan masyarakat serta memahami keperluan mereka dengan lebih dekat.
Ab Rauf berkata, pendekatan berkenaan akan terus menjadi pegangan beliau dalam memastikan Tanjung Bidara sentiasa diberi perhatian, seiring tanggungjawabnya menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri.
Katanya, amanah sebagai Ketua Menteri dan wakil rakyat pada asasnya mempunyai matlamat yang sama, iaitu memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

