BN MELAKA SEDIA HADAPI 1,001 KEMUNGKINAN DI 28 DUN

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 1 Oktober – Barisan Nasional (BN) Melaka bersedia menghadapi ‘1,001 kemungkinan’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba, termasuk persaingan daripada parti lain di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya tidak memandang ringan hasrat mana-mana parti untuk bertanding, sebaliknya terus memperkukuh kesiapsiagaan jentera pilihan raya di semua peringkat.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, persediaan jentera pilihan raya UMNO Melaka telah dilengkapkan oleh semua ketua bahagian yang diberikan tanggungjawab bagi menghadapi PRN.

“Kita tidak akan sesekali memandang ringan kepada parti-parti lain yang menawarkan diri untuk bertanding dalam 28 tempat ini.

“Apa pun, BN Melaka sentiasa bersedia menghadapi seribu satu kemungkinan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, UMNO akan memberi tumpuan untuk mempertahankan kawasan yang dimenanginya pada PRN Melaka 2021.

Katanya, jentera pilihan raya akan dilancarkan sebelum hari penamaan calon dan digerakkan secara berperingkat mengikut gelombang.

“Pastinya kita akan menjurus kepada kekuatan kita untuk menakluki kawasan-kawasan yang kita memenangi dulu,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf mengesahkan mesyuarat berkenaan belum membincangkan nama calon secara khusus.

Sebaliknya, beliau berkata, pihaknya baru meminta nama calon berpotensi untuk dipertimbangkan dan diperhalusi sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Calon belum lagi. Saya baru minta nama-nama calon yang boleh dipertimbangkan untuk diperhalusi.

“Jadi belum lagi untuk beri tahu siapa calon. Masa banyak lagi ini,” katanya.

Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

546
Kongsi :
Previous post TOK RAUF BERKHIDMAT SEPENUH HATI: PIMPIN MELAKA, JAGA TANJUNG BIDARA