
PRN MELAKA: RUNDINGAN RAKAN STRATEGIK BN DITUNDA
AYER KEROH 1 Oktober – Rundingan Barisan Nasional (BN) Melaka dengan parti yang berpotensi menjadi rakan strategik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditunda ke minggu depan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tarikh baharu rundingan itu masih belum dimuktamadkan berikutan pihaknya sedang mencari tarikh yang sesuai untuk semua pihak.
Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka berkata, Setiausaha Agung UMNO telah membuat kenyataan rasmi bagi menjemput parti yang berminat untuk hadir dalam rundingan bersama Badan Perhubungan BN Negeri Melaka.
“Rundingan ditunda pada satu tarikh yang lebih sesuai kerana kita belum lagi mendapat tarikh-tarikh yang sesuai.
“Insya-Allah, Setiausaha Agung sudah membuat kenyataan rasmi untuk menjemput mana-mana parti datang berunding dengan pihak Badan Perhubungan BN Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, di sini, malam tadi.
Ab Rauf berkata, hasil rundingan berkenaan tidak akan diputuskan di peringkat negeri semata-mata, sebaliknya akan dibawa melalui saluran parti untuk penelitian sebelum keputusan rasmi dibuat.
Katanya, penelitian itu akan mengambil kira manfaat dan implikasi sesuatu bentuk kerjasama sebelum keputusan mengenainya dibuat.
“Saya tak menjurus kepada mana-mana gabungan untuk menjadi rakan strategik, tetapi akhirnya nanti menjurus kepada penilaian dan kajian yang mendalam.
“Maka keputusan akan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,” katanya.
Sebelum ini, BN Melaka menyatakan akan menggunakan formula kerjasama ‘BN Plus’ pada PRN akan datang dan menyerahkan proses rundingan bagi menentukan rakan strategik yang sesuai.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

