Sorting by

×

Aktiviti memancing di Pantai Puteri kembali meriah

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PANTAI KUNDOR 15 Ogos – Selepas lebih lima bulan sepi daripada aktiviti pancingan pantai, Pantai Puteri kembali meriah apabila pertama kalinya mendapat lampu hijau untuk menganjurkan pertandingan memancing.

Pertandingan anjuran Joran Unggul Event Management dengan kerjasama rakan strategik Japerun Pantai Kundor itu berjaya mengumpulkan lebih 200 peserta dari dalam dan luar Melaka.

Menariknya, pertandingan memancing itu disifatkan sebagai pertandingan memancing pertama dianjurkan pasca Covid-19 dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di lokasi terbabit mendapati kesemua peserta hadir dengan mematuhi norma baharu ditetapkan termasuklah memakai pelitup muka, mencatat butiran diri dan mengimbas suhu serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Selain itu, anggota polis dari Balai Polis Tanjung Kling turut memantau perjalanan pertandingan memancing berkenaan sejak ia dimulakan pada jam 9.30 malam dan berakhir pada jam 1.30 pagi.

Program itu telah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Nor Azman ketika ditemui mengakui teruja melihat kebanjiran kaki pancing dalam pertandingan berkenaan dan menyifatkannya sebagai usaha baik dalam menggalakkan semula pertumbuhan ekonomi setempat dan sektor pelancongan Negeri Melaka.

“Saya ada melawat pantai dan bertemu kaki pancing tadi dan difahamkan ada peserta sanggup datang dari Muar, Port Dickson dan Kuala Lumpur bersama keluarga untuk melakukan aktiviti riadah secara suka-suka di pantai ini.

“Jadi, ia sesuatu yang baik kerana selain menghidupkan kembali Pantai Puteri, secara tak langsung dapat juga menjana ekonomi penduduk setempat yang terdiri daripada peniaga dan sebagainya.

“Saya difahamkan pertandingan memancing ini akan diadakan secara mingguan dan saya memang menggalakkan dan menyokong agar ia diteruskan agar dapat menjadi salah satu tarikan pelancongan di negeri ini dan kawasan Pantai Kundor khususnya,” katanya.

Di akhir acara, seorang pemancing dari Melaka yang dikenali sebagai Ijoi dinobat sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM1,500 selepas mendaratkan ikan mayong seberat 0.655 kilogram (kg).

Tempat kedua dan ketiga pula menjadi milik Saharom dan Muhammad Zaidi yang masing-masing menaikkan tangkapan ikan gerut dan linang seberat 0.590kg dan 0.545kg.

Views:

1415
Kongsi :
Previous post MITC Sdn Bhd peruntukan kira-kira 50,000 bantuan alat pencegahan Covid-19
Next post Microsoft, Amazon, Google tunjuk minat terlibat majukan Malaysia dalam bidang teknologi maklumat
Ubah saiz-+=