Misi jadikan Real Merlimau sehebat Real Madrid

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PENUBUHAN Akademi Bola Sepak Real Merlimau (ABSRM) dilihat mampu menjadi platform dalam mencungkil bakat dan usaha mencari pelapis bola sepak negara yang baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Dr Akmal Saleh berkata, ABSRM itu yang dikendalikan oleh jurulatih yang terlatih dan bertauliah untuk melatih anak-anak berusia antara tujuh hingga 12 tahun yang berminat dalam sukan nombor satu negara ini.

Katanya lagi, penubuhan akademi bola sepak itu juga akan membantu mencari bakat muda baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi selain memberi pendedahan program latihan.

“Akademi ini prinsip kita biar kecil asal konsisten dan berpanjangan kerana kita mahu mencungkil bakat anak-anak ini bermula dari kecil.

“Besar harapan kita Real Merlimau akan ke Real Madrid suatu hari nanti, jadi anak-anak yang mempunyai bakat perlu digilap dengan cara yang betul selain komitmen daripada ibu bapa juga perlu bagi menggerakkan anak-anak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Akademi Bola Sepak Real Merlimau (ABSRM) di Dataran Orang Kampung, 9 Ogos lalu.

Menurutnya, meskipun ia berlangsung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau namun penyertaan terbuka kepada semua kanak-kanak yang berminat termasuklah mereka yang dari luar Melaka.

“Buat waktu ini penyertaan seramai 30 orang, Insyaallah mungkin akan bertambah selain kita tawarkan kepada mereka dari luar Melaka termasuklah Muar mahupun Tangkak, Johor.

“Mereka ini hanya dikenakan yuran serendah RM20 sebulan dan latihan akan diadakan setiap Sabtu sekiranya ada ibu bapa yang tidak berkemampuan, hanya maklumkan kepada kami bagi pembayaran yuran itu,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri berkata, kanak-kanak dalam lingkungan usia ini adalah sasaran mereka untuk dilatih kerana mudah digilap bakatnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2112
Kongsi :
Previous post Rang undang-undang larangan tukar parti: Jabatan Peguam Negara dapatkan perkenan Agong
Next post Tindakan penguatkuasaan mengikut Akta 804 terhadap pengamal pergigian haram
Ubah saiz-+=