Sorting by

×

MITF FOKUS CARI PELAPIS ATLET TAEKWONDO

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

ALOR GAJAH 18 September – Malaysian International Taekwon-Do Federation (MITF) mencari atlet pelapis negara menerusi penganjuran Malaysia Invitational International Taekwon-Do Championship (MIITC) 2025 yang menghimpunkan peserta seawal usia enam hingga 35 tahun.

Setiausaha Agung MITF merangkap pengelola kejohanan, Dr. John Mohd Abdul Rahim, berkata MIITC menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu berpotensi mewakili negara pada kejohanan dunia.

“Tujuan kami jelas, iaitu mencari pelapis atlet negara. Dahulu penyertaan hanya dibuka kepada mereka berusia 18 tahun ke atas, tetapi kini kami mula membentuk bakat seawal peringkat rendah supaya mereka lebih bersedia.

“Apabila ada kejohanan remaja dunia, pelapis yang digilap melalui MIITC akan dipilih mewakili Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kejohanan itu yang disempurnakan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam di Freeport A’Famosa Convention Centre, di sini, pada Selasa.

Kejohanan yang berlangsung dari 15 hingga 18 September berjaya menarik penyertaan 1,016 peserta dari dalam dan luar negara.

Sebanyak 380 kategori dipertandingkan merangkumi acara ‘pattern’, ‘free sparring’ serta kategori individu dan berpasukan dengan penyertaan dari enam negara luar seperti Korea, Taiwan, Hong Kong, China, Ireland dan Nigeria.

Menurut Dr. John Mohd, ini merupakan kali pertama MIITC dianjurkan di Melaka bersempena Tahun Melawat Melaka 2.0 dan pihaknya berhasrat menjadikannya sebagai acara tahunan.

“Jika mendapat persetujuan Kerajaan Negeri Melaka, kami akan teruskan penganjuran ini pada setiap tahun. Tahun ini ada enam negara luar terlibat dan kami yakin jumlah itu akan bertambah pada tahun depan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata MITF merancang untuk menganjurkan kejohanan dunia yang dijangka menghimpunkan 2,000 hingga 3,000 peserta antarabangsa pada Disember tahun hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

538
Kongsi :
Previous post KECEKALAN MUHAMMAD YUSRI DAPAT PERHATIAN UTEM
Next post PROMOSI PRODUK DUN KLEBANG SEPANJANG WTD 2025