Mohd Ali angkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 5 Jun – Tun Dr. Mohd Ali Rustam hari ini mengangkat sumpah sebagai Tuan Yang terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7 di Dewan Istiadat Seri Negeri, di sini, pagi tadi.

 

Ia sekali gus mencipta sejarah tersendiri di bumi bersejarah, Melaka apabila buat julung kalinya anak jati negeri ini diperkenan untuk dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri selepas negara mencapai kemerdekaan pada Ogos 1957.

Dalam majlis istiadat tersebut, Mohd Ali tiba di Seri Negeri kira-kira jam 10 pagi dan kemudian diarak masuk ke pekarangan dewan istiadat bersama isteri, Toh Puan Asmah Abd Rahman.

Istiadat dimulakan dengan pengisytiharan pelantikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan.

Acara kemuncak ialah majlis angkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yassin yang disusuli dengan tujuh das tembakan meriam sebagai simbolik pelantikan TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7.

Mohd Ali seterusnya menandatangani surat cara sumpah jawatan dan selepas itu mendengar ucapan taat setia yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali.

Beliau kemudiannya menyampaikan ucapan pertama selaku TYT Yang di-Pertua Negeri, sebelum majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.

Yang di-Pertua Negeri kemudiannya beredar meninggalkan dewan istiadat pada jam 11 pagi dan bergerak menuju ke Pejabat TYT untuk acara Majlis Serah Tugas.

Untuk rekod, Mohd Ali, 70, bukanlah nama asing di negeri ini memandangkan beliau pernah dilantik menjadi Ketua Menteri selama tiga penggal iaitu bermula pada 1999 sehingga 2013.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Katil dan SK Semabok dan seterusnya melanjutkan pengajian di Sekolah Tinggi Melaka (Melaka High School).

Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM) dengan memegang Ijazah Kepujian Sarjana Muda Kemasyarakatan (Ekonomi Pembangunan) pada 1984.

Beliau mendirikan rumahtangga bersama Toh Puan Asmah pada 1985 dan dikurniakan tiga cahayamata iaitu Mohd Ridhwan, Wan Nazirah dan Muhm. Hamka.

Mohd Ali mempunyai pengalaman luas dalam bidang perkhidmatan awam dan memulakan kerjaya awal sebagai Pegawai Kerani di Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari 1969–1979.

Beliau kemudian menjadi Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri Kedah antara tahun 1979–1980.

Pada 1980, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah KEMAS negeri Perlis selama setahun sehingga 1981 sebelum dipindahkan ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1981–1982) menjawat jawatan sama.

Setahun selepas itu, beliau pulang ke Melaka sebagai Pengarah KEMAS pada 1982 hingga 1983.

Pada 1984, beliau mendapat kepercayaan daripada Ketua Menteri Melaka ketika itu dan dilantik sebagai Setiausaha Khas kepada Ketua Menteri Melaka sehingga tahun 1986.

Mohd Ali mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1986 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek.

Beliau menang mudah dan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri dengan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri (1986-1990).

Pada PRU 1990, beliau memenangi kerusi DUN Sungai Udang dan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Sains dan Teknologi negeri hingga 1995.

Beliau kemudian bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Batu Berendam dalam PRU 1995.

Kemenangan itu membolehkan beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan (4 Mei 1995 – 10 Januari 1999) dan Timbalan Menteri Kesihatan sehingga penghujung 1999.

Pada PRU 1999, Mohd Ali sekali lagi diberi kepercayaan bertanding di kerusi DUN Paya Rumput dan menang pada pilihanraya itu sebelum dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2 Disember 1999.

Views:

822
Kongsi :
Previous post KPDNHEP Melaka rampas barangan jenama mewah tiruan
Next post Mohd Ali anak Melaka pertama dilantik Yang di-Pertua Negeri
Ubah saiz-+=