
MPAG RAIH DUA ANUGERAH ATAS INISIATIF KOMUNITI DAN KELESTARIAN
ALOR GAJAH 17 September – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) meraih dua pengiktirafan berprestij hasil pelaksanaan projek berimpak tinggi memfokuskan kepada kesejahteraan komuniti dan kelestarian bandar.
MPAG merangkul ‘Sapphire Award’ (tempat kedua) bagi Kategori ‘Community and Neighbourhood Park’ melalui projek Transformasi Alam Kepada Komuniti Sejahtera di Taman Rekreasi Awam Durian Daun, Masjid Tanah.
Selain itu MPAG merangkul ‘Special Mention’ bagi Kategori ‘Urban Farming’ melalui kerjasama dengan Persatuan Penduduk Taman Seri Bayu 2 dan 3.
Yang Dipertua MPAG, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, pengiktirafan itu membuktikan komitmen MPAG dalam melaksanakan projek memberi impak positif kepada komuniti dan alam sekitar.
“Projek Transformasi Alam Kepada Komuniti Sejahtera memberi nafas baharu kepada taman rekreasi awam dengan pendekatan mesra alam dan komuniti, selain menyediakan kemudahan rekreasi untuk semua lapisan masyarakat.
“Melalui penglibatan aktif penduduk setempat dalam aktiviti gotong-royong dan rekreasi, ia dapat memupuk rasa memiliki, kerjasama dan kebersamaan dalam kalangan komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai projek Urban Farming, TPr. Saifuddin berkata ia dilaksanakan bersama Persatuan Penduduk Taman Seri Bayu dan Pejabat Pertanian Daerah Alor Gajah sejak 4 Mei 2024 dan mengambil masa setahun untuk direalisasikan.
“Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan pertanian bandar, malah menyokong agenda bandar mampan dengan meningkatkan literasi makanan, kesejahteraan sosial serta kelestarian alam sekitar,” katanya.
Majlis penganugerahan itu berlangsung pada 12 September (Jumaat) lalu di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor bersempena Majlis Makan Malam MIP MyPlace Awards 2025 anjuran Malaysian Institute of Planners (MIP).
TPr. Saifuddin berkata kejayaan ini menjadi pemangkin untuk MPAG terus memperkukuh peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam melaksanakan projek yang memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat dan pembangunan bandar.
Setiausaha MPAG, Radzyma Mahat menerima anugerah tersebut mewakili TPr. Saifuddin daripada Presiden MIP, TPr. Mazrina Abdul Khalid dan Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk TPr. Dr. Alias Rameli.
Turut hadir, Pengarah Perancang Bandar MPAG, TPr. Nurul Adawaty Ismail.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.