Sorting by

×

MPJ GIAT INDAHKAN JASIN MENJELANG WTD 2025

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

JASIN 22 Julai – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) giat melaksanakan kerja pengindahan landskap di seluruh kawasan pentadbirannya sebagai persediaan menyambut Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) pada September depan.

Setiausaha MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, inisiatif itu bukan sahaja memperindah kawasan bandar dan pelancongan, malah memastikan Jasin kekal bersih, ceria dan lestari.

“Kita laksanakan kerja-kerja ini secara menyeluruh di seluruh kawasan pentadbiran MPJ.

“Tumpuan diberi kepada komponen utama landskap seperti penanaman semula pokok hiasan, cantasan pokok, pencahayaan kawasan pada waktu malam, pembaikan papan tanda usang dan pelaksanaan kempen kesedaran bersama masyarakat,” katanya.

Tambahnya, sebagai antara pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, MPJ akan memberi sokongan penuh kepada Negeri Melaka yang dipilih mewakili Malaysia sebagai tuan rumah sambutan WTD2025.

Justeru, beliau berkata, pelbagai langkah persediaan fizikal telah dimulakan lebih awal melalui usaha pengindahan yang dijalankan secara berterusan.

“Antara kemudahan sokongan yang turut digerakkan ialah nurseri MPJ seluas 0.8 hektar berhampiran Stadium Mini Jasin yang menempatkan lebih 2,000 anak pokok hiasan untuk ditanam di kawasan sesuai apabila matang.

“Pendekatan pengindahan bukan hanya tertumpu kepada lokasi pelancongan dan tumpuan awam seperti Dataran Orang Kampung, Merlimau dan Dataran Riverside Sungai Rambai, malah merangkumi kawasan taman dan kawasan rekreasi.

“Selain itu, ia turut merangkumi kerja-kerja pembersihan longkang, pemotongan rumput serta penambahbaikan jalan dalam kawasan perumahan,” katanya.

Katanya MPJ akan terus komited bukan sahaja dalam kerja-kerja teknikal, tetapi juga melibatkan masyarakat melalui gotong-royong, program pendidikan alam sekitar serta kempen kebersihan premis dan tandas awam.

“Ini juga salah satu persiapan MPJ bagi menyambut kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

607
Kongsi :
Previous post SWCORP MELAKA PASANG CCTV PANTAU PEMBUANGAN SAMPAH HARAM
Next post MELAKA CADANG GUBAL ENAKMEN HAIWAN BERKELIARAN, TINDAKAN LEBIH TEGAS