
MTD PROPERTIES RANCANG PEMBANGUNAN LESTARI BERSKALA BESAR DI AYER KEROH
AYER KEROH 25 Julai – MTD Properties giat merancang untuk membangunkan sebuah projek bandar bersepadu berteknologi hijau yang dijangka menjadi tarikan utama di Melaka pada masa akan datang menerusi nilai pelaburan sekitar RM4 bilion.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MTD, Dr. Nik Fauzan Nik Faizul berkata, pihaknya merancang untuk membangunkan pembangunan baharu di atas tanah seluas 283.2 hektar (700 ekar) di kawasan yang dilabel sebagai ‘Parcel B’.
Katanya, projek mega itu dijangka akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 20 hingga 25 tahun akan datang.
“Projek pembangunan baharu Parcel B ini akan merangkumi semua komponen termasuk perumahan, komersial dan perindustrian yang mana kawasan selatan projek ini telah digazetkan untuk sektor perindustrian.
“MTD Properties memerlukan kerjasama berterusan dengan Kerajaan Negeri untuk meluluskan pelan-pelan pembangunan dan selepas diluluskan baharulah kita akan mula membina infrastruktur serta pembangunan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Pejabat Jualan MTD Properties Sempena Kerjasama Strategik Bersama Kerajaan Negeri Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Taman Tasek Utama, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan MTD Datuk Nik Faizul Nik Hussain.
Mengulas lanjut, Dr. Nik Fauzan berkata, pihaknya juga akan meneliti serta melihat keperluan untuk membina pejabat Kerajaan Negeri seperti Pejabat Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dalam kawasan pmbangunan baharu terbabit.
“Kita juga ada perbincangan lanjut menerusi kerjasama strategik bagi pembinaan Parcel B ini bagi membina pejabat baharu MPHTJ untuk diletakkan dalam pelan pembangunan yang menyeluruh dan inklusif.
“Kita yakin dengan sokongan Kerajaan Negeri, projek ini akan memberi impak besar kepada pembangunan negeri dalam jangka masa panjang yang mana ia bukan sahaja memberi limpahan ekonomi tetapi kesejahteraan komuniti secara keseluruhan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.