MU terselamat dari dipotong tiga mata

0
599
MELAKA United

MELAKA United (MU) terselamat daripada pemotongan tiga mata oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan isu tunggakan gaji.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM berikutan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) telah membuat pelan pembayaran yang telah dipersetujui pemain dan pegawai kejurulatihan pasukan itu.

Bagaimanapun katanya, pihak FAM akan terus memantau pelan pembayaran tersebut agar ia selari dengan apa yang telah dijanjikan.

“Bagi pasukan Melaka United yang sebelum ini telah dipotong tiga mata selepas tarikh akhir kedua bayaran ansuran tunggakan 2019 pada hujung Februari 2020, FAM masih memantau pelan pembayaran yang telah dipersetujui dan ditetapkan oleh mereka bersama pemain dan pegawai terlibat yang mana ketika ini masih berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain Melaka United, pasukan PDRM dan Sarawak turut terselamat daripada pemotongan tiga mata berkenaan selepas kedua-dua pasukan turut menunjukkan perkembangan positif dalam membuat pembayaran tunggakan gaji serta tunggakan hutang dengan agensi-agensi kerajaan.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Kelantan apabila menjadi satu-satunya pasukan yang dipotong tiga mata serta-merta susulan gagal memenuhi janji yang dipersetujui bersama badan induk bola sepak Malaysia itu.

“Setelah mengambil kira situasi semasa akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), FIB Pelesenan Kelab FAM telah membuat keputusan untuk melanjutkan masa sehingga 30 Julai 2020 untuk Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menyelesaikan bayaran tunggakan gaji pegawai dan pemain.

“Namun sehingga 30 Julai 2020, tiada sebarang pembayaran baki yang masih tertunggak dibuat oleh KAFA seperti mana jadual pembayaran yang mereka sendiri telah tetapkan dan maklumkan kepada FAM.

“Walaupun KAFA telah menghantar surat kepada FAM bertarikh 30 Julai 2020 dengan permintaan kelonggaran dan lanjutan masa sehingga tamat musim 2020, namun FIB Pelesenan Kelab FAM telah membuat keputusan untuk kekal dengan tarikh akhir seperti yang ditetapkan dalam surat bertarikh 8 Julai 2020 dan peringatan melalui e-mel bertarikh 27 Julai 2020 kepada mereka untuk menyelesaikan bayaran tunggakan gaji pegawai dan pemain iaitu pada 30 Julai 2020.

“Oleh itu, KAFA telah didapati gagal untuk menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan, sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata,” katanya.