Muay Thai Melaka terima tajaan RM100,000

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PAYA RUMPUT 3 April – Pasukan Muay Thai Negeri Melaka bakal melangkah masuk ke gelanggang Sukan Malaysia Ke-21 (Sukma XXI) Sarawak dengan lebih berkeyakinan apabila menerima penajaan berjumlah RM100,000 daripada syarikat pengeluar produk aroma terapi Avergold Holdings Sdn Bhd.

Majlis penyerahan tajaan untuk Pasukan Muay Thai Negeri Melaka itu berlangsung di Pejabat Majlis Sukan Negara (MSN) negeri, di sini, semalam.

Pengarah MSN negeri, Mohd Asri Ninggal berkata, sudah pasti penajaan itu akan membolehkan pasukan Muay Thai Melaka melakukan persiapan rapi sebelum memasuki gelanggang Sukma XXI dijadualkan Ogos depan.

“Selain menyuntik semangat atlet bekal beraksi di gelanggang Sukma XXI, penajaan ini dapat memperkemaskan lagi program pembangunan sukan Muay Thai di Negeri Melaka.

“Kos latihan dan penyediaan peralatan untuk sukan tempur ini amat tinggi, jadi MSN Melaka amat berterima kasih kepada pihak Avergold Holdings Sdn Bhd kerana membantu pembangunan Muay Thai di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan penyerahan tajaan berkenaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Avergold Holding, Amir Syarizal Amri kepada Presiden Persatuan Muay Thai Negeri Melaka Emrito @ Haris Alias.

Mohd Asri, turut memuji inisiatif Persatuan Muay Thai Negeri Melaka yang agresif mencari penajaan sendiri bagi membantu program pembangunan sukan tempur berkenaan.

“Memang ada bantuan daripada Kerajaan Negeri, namun inisiatif seperti ini juga amat diharapkan kerana dapat merancakkan lagi perkembangan sukan di Melaka.

“Bagi saya ini adalah satu perkembangan yang menarik dan berharap persatuan sukan lain dapat melakukan hal sama iaitu dengan mencari penajaan luar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

202
Kongsi :
Previous post Malam Gema Wahyu Ikhlas dekati golongan memerlukan
Next post Dua emas tiga perak, realistik
Ubah saiz-+=