Dua emas tiga perak, realistik

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PAYA RUMPUT 3 April – Membawa pulang dua emas dan tiga perak pada Sukan Malaysia Ke-21 (Sukma XXI) Sarawak Ogos depan dianggap sebagai sasaran realistik oleh Persatuan Muay Thai Negeri Melaka.

Presiden Persatuan Muay Thai Negeri Melaka, Emrito @ Haris Alias berkata, pihaknya tidak mahu terlalu bercita-cita dengan meletakkan sasaran pungutan pingat yang lebih tinggi pada Sukma XXI Sarawak akan datang.

Katanya, sasaran realistik itu adalah berdasarkan kepada potensi ditunjukkan barisan atlet yang akan diturunkan selain aspek latihan termasuk dilaksanakan di Thailand serta aspek teknikal lain.

Jelasnya bagi Sukma XXI Sarawak, pihaknya menurunkan seramai 16 atlet termasuk empat pelajar Sekolah Henry Gurney (SHG), Telok Mas bagi mewakili Melaka dalam kategori Muay Boran (Muay seni).

“Sasaran emas adalah bagi kategori lelaki 45 kilogram dan kategori wanita, sementara itu kita mempertaruhkan empat pelajar SHG iaitu dua lelaki dan dua wanita untuk tiga perak menerusi kategori Muay Boran.

“Kami melaksanakan pembangunan berterusan termasuk menghantar atlet Melaka menjalani latihan di Thailand. Bagi sukan tempur seperti ini latihan semata-mata tidak cukup, perlu ada pendedahan agar mereka ini lebih bersedia dalam gelanggang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan tajaan daripada syarikat pengeluar produk aroma terapi Avergold Holdings Sdn Bhd kepada Persatuan Muay Thai Negeri Melaka berlangsung di Pejabat Majlis Sukan Negara (MSN) Melaka, di sini, semalam.

Emrito @ Haris mewakili Persatuan Muay Thai Negeri Melaka menerima tajaan berjumlah RM100,000 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Avergold Holding, Amir Syarizal Amri, sambil disaksikan Pengarah MSN Negeri, Mohd Asli Ninggal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

138
Kongsi :
Previous post Muay Thai Melaka terima tajaan RM100,000
Next post Orang Asli gembira ada menara telekomunikasi
Ubah saiz-+=