Orang Asli gembira ada menara telekomunikasi

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

ASAHAN 3 April – “Terima kasih YB (Yang Berhormat), selepas ini anak tidak perlu lagi pergi ke kebun getah untuk dapatkan capaian internet lebih lancar bagi membuat kerja sekolah seperti sebelum ini,” itu kata Perze Kintan.

Perze, 42, yang juga Orang Asli dari Gapam Baru melahirkan rasa gembira apabila menara telekomunikasi di kawasan itu sudah siap dibina dengan penduduk dijangka dapat menikmati perkhidmatan rangkaian jalur lebar Jun depan.

Photo1712124813
PERZE.

Katanya, keberadaan menara telekomunikasi itu amat melegakan semua penduduk di Perkampungan Orang Asli Gapam Baru kerana ia bakal membawa satu perubahan selain memudahkan untuk mereka mendapat perkembangan semasa menerusi pelbagai platform digital.

“Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami memang terkesan kerana ketika itu berlangsungnya Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), jadi anak saya terpaksa ke kebun getah untuk mendapatkan talian internet.

“Jadi apabila sudah ada menara telekomunikasi ini ia akan memudahkan banyak perkara termasuklah untuk anak-anak membuat rujukan bagi menyiapkan tugasan dan juga kita sendiri ibu bapa dapat berkomunikasi dengan guru menerusi kumpulan whatsApp,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Penyampaian Bantuan Aidilfitri Bersama Masyarakat Orang Asli yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan di Perkampungan Orang Asli Gapam Baru, hari ini.

Photo1712124917
SORAYA.

Seorang lagi penduduk, Soraya Sri Mohan, 51, berkata, dengan adanya capaian internet yang tidak terbatas ia akan membawa banyak manfaat kepada penduduk terutamanya generasi muda kerana mereka dapat berhubung secara terus dengan dunia luar.

“Ketika ini capaian internet terhad, hendak membuat panggilan telefon ada kalanya perlu mencari tempat yang lebih tinggi, tetapi dengan adanya menara telekomunikasi masalah ini tidak lagi akan berlaku.

“Terima kasih kepada YB Fairul kerana sejak beliau menerajui kawasan ini banyak manfaat dan perubahan yang kami penduduk terima. Bukan sahaja daripada segi kebajikan tetapi kemudahan termasuklah pembinaan menara telekomunikasi ini.

“Malah beliau juga kini giat memohon untuk pemasangan lampu jalan dan ini memang kami penduduk amat mengharapkan kerana keadaan jalan amat gelap pada waktu malam dan agak membahayakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

70
Kongsi :
Previous post Dua emas tiga perak, realistik
Next post Pengasas KK Mart mohon ampun kepada Agong, umat Islam
Ubah saiz-+=