MUFC ‘berpeluh’ sebelum seri di laman sendiri

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) gagal memanfaatkan aksi pembukaan Liga Super 2021 di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Sabah FC di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Anak buah Zainal Abidin Hassan bagaimanapun terlebih dahulu tersentak dengan jaringan pemain tengah Sabah, Hamran Peter pada minit ke-46, sebelum S Kumaahran muncul penyelamat tuan rumah apabila menyumbat gol penyamaan pada minit ke-63.

Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Dalam aksi yang berlangsung dalam cuaca hujan renyai itu, tuan rumah bermula garang dengan melakukan beberapa asakan ke kubu lawan sebaik sepak mula.

Antara percubaan terbaik hadir seawal minit ke-2 dan 3 menerusi gandingan Sony Norde dan Alex dos Santos Goncalvez di jentera serangan, namun percubaan tersebut gagal menembusi gawang lawan.

Selepas itu, kedua-dua pasukan tampak lebih berhati-hati dan sesekali aksi keras turut dipamerkan sehinggakan pengadil terpaksa melayangkan tiga kad kuning.

Sabah yang lebih mengamalkan corak permainan bertahan dan melakukan serangan balas, bagaimanapun berhasil membuka tirai jaringan tatkala memasuki masa kecederaan separuh masa pertama.

Gol itu hadir menerusi lencongan cantik Bobby Gonzalez kepada Hamran di sebelah kiri pintu gol yang kemudian merembat bola menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Bersambung di babak kedua, MUFC kelihatan terdesak mencari gol penyamaan.

Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-55 apabila pintu gol Sabah terbuka luas untuk Concalvez menjaringkan gol selepas menerima hantaran Kumaahran.

Bagimanapun ketangkasan penjaga gawang Sabah, Robson Rendy Rining berjaya menafikan percubaan tersebut.

Gol yang dicari-cari tuan rumah akhirnya hadir pada minit ke-63 berpunca daripada hantaran cantik Norde mencari Kumaahran yang kemudiannya melakukan rembatan deras ke pintu gol.

Tidak lama selepas itu, Norde hampir sahaja menambah jaringan kedua buat MUFC pada minit ke-68, namun sayang, rembatan leretnya hanya sedikit tersasar di kanan pintu gol.

Norde sekali lagi mendapat peluang keemasan menjaringkan gol pada minit ke-76, malangnya sepakan tersebut sekadar melewati palang.

Selepas itu, tiada lagi aksi berbahaya dipamerkan dan keputusan 1-1 kekal sehingga pengadil perlawanan, Khairulazuan Kidam meniupkan wisel penamat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

806
Kongsi :
Previous post Orang ramai diminta berhati-hati, ada kawasan dinaiki bah lebih 1.5 meter
Next post MUFC dapat pengajaran berharga
Ubah saiz-+=