MUFC dapat pengajaran berharga

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KETUA Jurulatih Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) Zainal Abidin Hassan mengakui sedikit kecewa dengan keputusan seri 1-1 menentang Sabah FC di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Katanya, keputusan itu seakan tidak menggambarkan keseluruhan perlawanan yang didominasi skuad Hang Tuah, tambahan pula berdepan lawan tanpa bintang import untuk aksi pembukaan itu.

Namun, beliau enggan menyalahkan mana-mana pihak di sebalik keputusan itu, sebaliknya berharap ia dijadikan pengajaran buat semua pemain.

“Kita banyak memberikan tekanan kepada Sabah FC dan memperoleh beberapa peluang keemasan terutama di separuh masa kedua. Di sini perlu saya katakan, amatlah penting untuk kita memanfaatkan setiap peluang yang hadir.

“Jadi, ia satu pengajaran buat kita pada hari ini (malam tadi) apabila tidak mendapat tiga mata penuh yang sepatutnya kita miliki selepas mendominasi hampir 90 peratus permainan.

“Saya akui sedikit kecewa, tetapi selepas pemain melakukan ‘comeback’ menjaringkan gol penyamaan, saya tetap perlu memuji usaha mereka apabila berdepan pasukan yang mengamalkan taktikal beramai-ramai di belakang seperti Sabah,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Mengulas kegagalan penyerang importnya Alex dos Santos Goncalvez menyudahkan peluang terhidang, Zainal berharap itu tidak akan berulang di masa akan datang dan meminta pemain kelahiran Brazil itu untuk memperbaiki segala kelemahan daripada perlawanan itu.

“Alex kita nampak memang tidak dapat bergerak kerana ada dua atau tiga pemain lawan mengawalnya sepanjang perlawanan.

“Tetapi dia masih lagi mendapat beberapa peluang terbaik, namun gagal memanfaatkannya.

“Sebab itulah saya berharap selepas ini segala peluang yang diterima harus diambil dengan baik untuk kita memenangi perlawanan,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai status seorang lagi penyerang import MUFC, Stefan Nikolic, Zainal memaklumkan pemain tersebut masih mengalami kecederaan dan statusnya untuk beraksi dalam perlawanan kedua menentang Petaling Jaya City FC (PJ City FC) juga masih samar-samar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

359
Kongsi :
Previous post MUFC ‘berpeluh’ sebelum seri di laman sendiri
Next post Tempoh seminggu kaji punca banjir kilat – Mohd Rafiq
Ubah saiz-+=