MUFC elak ulangi ‘skrip’ bolos awal

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) diingatkan tidak mengulangi kesilapan membenarkan lawan menjaringkan gol awal seperti dalam dua aksi terdahulu.

Dalam dua aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC sebelum ini, MUFC dibolosi seawal minit pertama, hingga menyaksikan pemain skuad Hang Tuah bergelut untuk mengimbangi semula permainan.

Justeru, menjelang pertemuan dengan Penang FC di Stadium Bandaraya esok, Ketua Jurulatih MUFC, Zainal Abidin Hassan mahu anak buahnya mengekalkan disiplin sejak sepak mula bagi memastikan harapan mengutip mata di tempat lawan dan menjarakkan diri dari zon bahaya dicapai.

“Kita datang ke sini dengan misi untuk mengutip mata yang mana saya meminta pemain untuk berdisiplin dan tidak lagi mengulangi kesilapan mudah.

“Kita tidak mahu apa yang terjadi dalam aksi menentang Sri Pahang FC dan JDT berulang lagi sehingga menyebabkan kita terpaksa bertungkus-lumus untuk mencari gol penyamaan.

“Diharap dengan kemasukan pemain utama yang sebelum ini cedera dan digantung perlawanan, kita dapat bangkit untuk mengutip mata di Pulau Pinang,” katanya.

Zainal berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan kemajuan dipamerkan pemain terutama dalam aspek keserasian antara pemain baharu dan lama.

Bagaimanapun, beliau percaya masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki untuk membantu pasukan terus maju sehingga penamat musim ini.

“Saya melihat pemain semakin maju ke depan dan menunjukkan semangat kerjasama yang baik di atas padang.

“Jadi, di sini, pemain harus ingat mereka mempunyai pasukan yang baik dan saya percaya jika prestasi mereka ditingkatkan sedikit lagi, kita boleh pergi ke depan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

421
Kongsi :
Previous post PICK: Jumlah pemberian vaksin COVID-19 cecah 23 juta dos
Next post Agong santuni, kurnia sumbangan kepada 10 keluarga di Rompin
Ubah saiz-+=