MUFC idam kemenangan sulung

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

SELEPAS seri empat kali dalam perlawanan sebelum ini Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) kini semakin dahagakan kemenangan sulung dalam Liga Super musim 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, bagi mencabar kedudukan teratas liga musim ini, tiada jalan lain melainkan skuad Hang Tuah perlu mengutip tiga mata pertama mereka dengan segera.

Untuk itu, beliau mahu kemenangan pertama itu dijelmakan dalam aksi menentang Kelab Bolasepak Kuala Lumpur City (KL City FC) di Stadium Hang Jebat, malam esok.

“Kita tahu KL City FC adalah lawan yang kuat apatah lagi selepas mereka menewaskan Perak FC dalam aksi sebelum ini. Jadi, saya tidak mahu pemain memandang rendah kemampuan mereka.

“Apa yang saya minta ialah pemain perlu beraksi sebagai satu pasukan dan mengamalkan disiplin tinggi serta semangat memburu kemenangan pertama.

“Diharapkan perkara itu mampu dicapai dalam perlawanan malam esok,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, mengulas kecederaan penyerang import, Stefan Nikolic yang belum pernah diturunkan dalam perlawanan awal musim ini, Saiful memaklumkan pemain itu kini berada dalam fasa pemulihan terakhir.

Jelasnya, jika tiada masalah lanjutan, pemain kelahiran Montenegro itu mungkin akan diturunkan dalam aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 2 April depan bagi memperkuat jentera serangan pasukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

611
Kongsi :
Previous post Busur dan panah Melaka dijual di Hungary
Next post Webinar PMM kongsi pengalaman pertukaran pelajar TVET
Ubah saiz-+=