Webinar PMM kongsi pengalaman pertukaran pelajar TVET

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

MERLIMAU 19 Mac – Sesi webinar Antarabangsa Politeknik Merlimau Melaka (PMM) memberi pengalaman berkaitan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) pelajar semasa berada di negara luar, kelmarin.

Usaha itu dilaksanakan bersama Politeknik Negeri Bali (PNB), Indonesia yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook live PMM bagi berkongsi pengalaman pelajar yang merasai program pertukaran antara kedua-dua negara.

Pengarah PMM, Mohd Hatta Zainal berkata, ia meliputi pengetahuan latihan industri di bawah program Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara berkaitan Latihan Teknikal dan Voksional (SEAMEO SEA TVET).

“Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan kementerian berkaitan serta institusi TVET di Asia Tenggara membangunkan Jaringan Politeknik SEAMEO pada April 2016 sebagai sebahagian daripada Konsortium SEA-TVET.

“Ia meningkatkan pengantarabangsaan dan perkongsian institusi TVET (universiti, politeknik dan kolej) di rantau ini melalui program pertukaran merentas negara dan kolaborasi lain,” katanya kepada MHI.

Katanya, webinar itu menyaksikan tiga pertukaran pelajar membabitkan seorang pelajar PNB dan dua pelajar PMM iaitu Wan Muhammad Syahmi Mohamad Nasir serta Muhammad Haqim Hairul Nizam.

“Pelajar PMM bertindak selaku jemputan bagi berkongsi pengalaman latihan industri di Indonesia dan Malaysia.

“Sebelum ini, PMM telah menghantar seramai lima pelajar ke Indonesia dan menerima tiga pelajar pertukaran dari Indonesia pada tahun 2019,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengantarabangsaan PMM, A.Simmathiri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

831
Kongsi :
Previous post MUFC idam kemenangan sulung
Next post Rancang sebelum keluarkan KWSP
Ubah saiz-+=