Rancang sebelum keluarkan KWSP

Masa Membaca:3 Minit, 4 Saat

RENTETAN pendedahan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias baru-baru ini yang memberitahu mengenai pengeluaran yang dibuat oleh 30 peratus atau 1.6 juta pencarum, segelintir pakar kewangan mencadangkan agar usaha bersepadu perlu dilakukan oleh majikan, pencarum serta kerajaan sendiri, bagi meningkatkan jumlah simpanan yang mungkin terjejas.

Secara asasnya, memang perlu ada usaha untuk menambah simpanan pencarum KWSP yang telah menghabiskan hampir kesemua wang persaraan mereka.

Malah, Tunku Alizakri turut menyatakan beberapa pencarum KWSP mungkin hanya mempunyai baki minimum RM100 dalam akaun mereka selepas pengeluaran. Ini sangat menyedihkan kerana simpanan untuk hari tua pencarum telah berkurangan. Fungsi KWSP untuk menyediakan pelan persaraan kepada pencarum akan menjadi sia-sia.

Pihak KWSP turut melahirkan rasa bimbang dengan situasi tersebut, dan akan terus melakukan lebih banyak aktiviti serta kempen kesedaran betapa pentingnya simpanan untuk hari tua.

Untuk rekod, sebanyak RM18.1 bilion simpanan telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahlinya menerusi Skim Pengeluaran Akaun 2 i-Lestari yang dilancarkan sebelum ini.

Selain itu, KWSP juga turut membenarkan ahli mengurangkan caruman wajib daripada 11 peratus kepada 7 peratus berkuatkuasa April 2020 sehingga Disember 2020.

SIMPANAN PERLU BAGI IMBANGI PENGELUARAN

Bagi perancang kewangan, Toh Su-I, dia menasihatkan agar setiap pencarum sekurang-kurangnya meningkatkan simpanan bulanan untuk mengimbangi semula pengeluaran yang telah dibuat oleh mereka.

Su-I yang juga merupakan Dealers Representative Retail, Equity Broking Kenanga Invesment Bank Bhd menjelaskan, ianya merupakan satu langkah yang bijak memandangkan KWSP telah terbukti mampu memberikan pulangan faedah yang tinggi kepada setiap simpanan pencarum.

Dealers Representative Retail, Equity Broking Kenanga Invesment Bank Bhd, Toh Su-I

“Tiada pilihan mahupun cara lain bagi mereka yang hampir dengan usia persaraan selain meningkatkan sumbangan bulanan mereka,” katanya.

Su-I turut meminta setiap pencarum dapat membuat perancangan awal jika ingin mencapai sasaran simpanan persaraan mereka.

“Ahli boleh memasukkan bonus akhir tahun ke dalam akaun KWSP mereka daripada menghabiskannya. Ini sangat penting bagi mereka yang berusia pertengahan 40-an,” katanya.

Daripada pandangan tersebut, satu perancangan rapi perlu dibuat jika ada pencarum yang berhajat untuk mengeluarkan wang di akaun KWSP dan penyimpanan yang besar perlu dibuat jika ingin menjamin hari persaraan kelak.

GALAK CARUM LEBIH BANYAK

Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan pula berpendapat, dia mendorong setiap ahli KWSP untuk mencarum lebih banyak daripada jumlah yang diperlukan setiap bulan.

Sebagai insentif, dia menyarankan agar kerajaan meningkatkan pelepasan cukai sekarang sebanyak RM4,500.

Namun begitu, beliau tidak bersetuju dengan idea bahawa majikan harus mencarum jumlah yang lebih tinggi bagi pihak kakitangan mereka.

“Aliran pendapatan untuk majikan tetap terhad kerana pandemik COVID-19. Perniagaan masih belum mampu memberi peningkatan pendapatan yang besar walaupun semakin banyak syarikat sudah dibenarkan beroperasi.

“Pada masa ini, bahagian caruman majikan daripada KWSP adalah 13 peratus bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM5,000 dan 12 peratus bagi mereka yang berpendapatan melebihi jumlah itu,” jelasnya.

Katanya, kerajaan membuat keputusan yang sukar untuk membenarkan pencarum mengakses dana persaraan mereka kerana kesukaran yang mereka hadapi.

“Saya berpendapat bahawa pencarum tidak boleh dengan mudah mengakses dana persaraan akaun satu mereka kerana ini akan menimbulkan masalah di masa depan,” ulasnya.

Presiden Majlis Perancangan Kewangan Malaysia, Vincent Kwo Shih Kang juga meminta kepada mereka yang membuat pengeluaran KWSP agar sentiasa berhati-hati dan merancang pelan kewangan dengan sebaiknya.

“Mereka yang telah membuat pengeluaran harus mempertimbangkan keperluan mereka sebelum membuat lebih banyak pengeluaran. Mereka harus menahan diri dari mengeluarkan dana sekiranya keadaan mereka bertambah baik.

“Menyalurkan dana ke Skim Persaraan Swasta, atau kepada simpanan persaraan lain di Malaysia juga merupakan pilihan. Tetapi hanya KWSP sahaja yang mampu memberikan pulangan pendapatan yang tinggi,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

769
Kongsi :
Previous post Webinar PMM kongsi pengalaman pertukaran pelajar TVET
Next post Banglo serendah RM365,500 buat anak Melaka
Ubah saiz-+=