MUKA ANAK BIRU, MULUT BERDARAH – BAPA

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

ALOR GAJAH 6 September – “Menerusi video yang isteri hantarkan kepada saya pagi tadi, saya lihat anak saya sihat memang tiada apa-apa.

“Memang terkejut (mengetahui), saya mula-mula boleh terima kalau anak saya meninggal dunia sebab tersedak susu kerana itu di luar kawalan, tetapi apabila melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memang saya tidak percaya,” kata Mejar Ir. Ts. Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, bapa kepada bayi lelaki berusia lapan bulan yang ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Kelemak, di sini, hari ini.

Bayi terbabit yang juga anak tunggal dikatakan baru lima hari dihantar ke taska terbabit untuk dijaga.

Menurut Mohd Fikry Amri, kira-kira jam 9 pagi tadi, isterinya Sabrina Hakiem Zaini, 39, menerima panggilan telefon daripada pihak taska yang memaklumkan anak mereka tidak sedarkan diri.

“Setibanya di taska isteri mendapati anak kami sudah tidak sedarkan diri dan muka sudah bertukar biru selain mulutnya juga turut berdarah.

“Isteri kemudian terus bergegas membawa anak ke Hospital Alor Gajah sebelum disahkan bayi kami sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah.

Dia mendakwa, selepas melihat rakaman CCTV yang diperolehi, dia amat terkejut melihat kejadian sebenar dan apa yang dilakukan oleh pengasuh.

“Apabila lihat CCTV saya memang tidak percaya dia (pengasuh) bedung anak saya, sumbat botol susu, tutup dengan kain dan tekup dengan bantal.

“Berdasarkan rakaman, kejadian berlaku kira-kira jam 8 lebih (pagi). Saya harap perkara ini dapat diambil tindakan supaya tidak berlaku kepada anak-anak yang lain,” katanya.

Menurut Mohd Fikry Amri berkata, dia dan isteri menunggu selama 13 tahun sebelum anak tunggalnya itu dilahirkan.

“Kami menanti selama 13 tahun dan anak baru lima hari dihantar ke situ, itupun kerana isteri akan mula bekerja selepas kira-kira setahun bercuti tanpa gaji,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1965
Kongsi :
Previous post APLIKASI TELEGRAM ANTARA YANG KERAP DIGUNAKAN SINDIKET PENIPUAN PELABURAN
Next post PENGASUH DITAHAN BANTU SIASATAN BAYI LELAKI LAPAN BULAN MAUT
Ubah saiz-+=