Musim cencaru di perairan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

 

TANJUNG BIDARA 24 Jun – Musim ikan cencaru datang lagi di perairan negeri ini dan kali ini ia tiba bersama-sama musim angin selatan.

Perubahan musim angin selatan yang bertiup sejak awal bulan ini membolehkan nelayan pinggir pantai di perairan Melaka Barat dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi menikmati musim ikan cencaru sejak minggu lalu.

Malah, pengguna ditawarkan harga cencaru lebih rendah berbanding sebelum ini berikutan jumlah penawaran yang melebihi permintaan.

Nelayan, Mohd Ali Abu Bakar, 51, berkata sejak minggu lalu dia memperoleh jumlah tangkapan cencaru lebih daripada biasa.

MOHD ALI.

“Setiap Jun tiba, insya-Allah angin selatan membawa cencaru dari perairan tengah laut ke perairan pinggir pantai lebih kurang satu batu nautika dari pantai.

“Alhamdulillah, cencaru membolehkan tong ikan penuh berbanding sebelum musim cencaru tiba dan ia amat menggembirakan kami nelayan yang hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, di sini hari ini.

Selain cencaru kira-kira 100 kilogram (kg), dia dan awak-awak, Mohd Amin Fuad Ramli, 27, memperoleh ikan parang dan tenggiri.

Katanya, cencaru dijual di pangkin pangkalan nelayan itu pada harga RM8 hingga RM10 sekilogram bergantung pada saiz manakala ikan parang RM25 sekilogram dan tenggiri antara RM15 hingga RM30 sekilogram.

Rakan Mohd Ali menjual cencaru, parang dan tenggiri di pangkin pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Sementara itu, pengguna, Siti Khadijah Kassim, 63, berkata dia dan suami, Kamarulzaman Mohd Shah, 65, sanggup datang dari bandar Melaka ke pangkalan itu semata-mata untuk mendapatkan cencaru yang baharu didaratkan yang lebih rendah harganya berbanding sebelum ini.

“Cencaru yang baru naik (didaratkan), tidak sama dengan yang di pasar kerana rasanya yang manis dan lemak, apatah lagi kalau dibakar dan dicecah dengan air asam.

“Selalunya, cencaru berharga antara RM12 hingga RM15 sekilogram dan saya tidak masak lain ikan itu kecuali membakarnya kerana ia amat digemari suami dan tiga anak kami,” katanya.

Maimunah Salleh, 48, berkata cencaru yang baharu dibawa pulang nelayan menjadi rebutan pengguna kerana keenakannya yang tidak mampu ditandingi cencaru sejuk beku.

Katanya, selain dibakar, ikan itu juga enak dimasak asam pedas untuk hidangan keluarga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1317
Kongsi :
Previous post Hatten Land tandatangani MOU dengan The Medici-Watermark untuk menguruskan pusat beli-belah di Melaka
Next post ATM mampu sumbang perubatan, kesihatan sekiranya diperlukan
Ubah saiz-+=