Naga besar sambut pengunjung Jonker Street

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BANDA HILIR 31 Januari – Replika naga sepanjang 268 kaki (82 meter) menjadi tarikan kepada pengunjung dan pelancong yang melawat Jonker Street sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street, Datuk Wira Gan Tian Loo berkata, secara tidak langsung replika itu turut memeriahkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menurutnya, replika naga terpanjang itu dipasang selepas 12 tahun sempena meraikan zodiak tahun naga mengikut kepercayaan kaum Tiong Hua.

“Pemasangan replika naga di bulatan Jalan Jonker selesai dilaksanakan minggu lalu. Selain itu bagi memeriahkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina 1,000 tanglung gergasi yang mana setiap satu berukuran satu meter turut digantung sepanjang laluan ini.

“Zodiak naga amat menarik kerana ia melambangkan kegagahan, keberanian dan perpaduan, kami harap elemen ini membawa kebaikan kepada rakyat Melaka, harapan kami agar semua hidup dalam suasana lebih ceria,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Selain itu beliau, memaklumkan pelbagai acara menarik akan dianjurkan di Jonker Walk sepanjang TMM2024.

“Esok akan berlangsung perarakan tarian naga gergasi dijadual dirasmikan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

“Acara diatur merupakan antara yang terbesar pernah dilaksanakan di negeri ini. Kami juga merancang menjalankan program Ambang Tahun Baru Cina pada 9 Februari depan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1039
Kongsi :
Previous post Ops TBC pantau tahap keselamatan makanan
Next post Pemilik butik dipenjara setahun, satu sebatan tipu bakal pengantin
Ubah saiz-+=