Nama-nama ‘besar’ bakal sertai MUFC

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BEBERAPA nama besar dalam arena bola sepak negara dijangka bakal menyertai Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia bulan ini.

Pemilik MUFC Datuk Seri Justin Lim berkata, nama-nama itu bakal diumumkan pihak pengurusan sedikit masa lagi apabila semuanya sudah dimuktamadkan.

Katanya, kemasukan pemain baharu dan ternama itu antara langkah pihaknya untuk mengubah wajah skuad Hang Tuah yang kini berada di tangga kedua tercorot Liga Super.

“Untuk jendela perpindahan kedua, kita semestinya akan membuat pertukaran pemain dengan memasukkan pemain berkualiti dan nama-nama besar bola sepak yang akan diumumkan Datuk Mohd Saiful Mat Sapri (Ketua Pegawai Eksekutif MUFC) nanti.

“Saya percaya, untuk pusingan kedua nanti anda akan dapat melihat Melaka United yang berbeza. Itu jaminan saya kepada penyokong dalam usaha untuk keluar dari zon penyingkiran.

“Sejujurnya, ketika mengambil alih pasukan, saya tidak mengharapkan sesuatu yang tinggi kerana kemasukan kami adalah untuk mempersiapkan pasukan bagi musim hadapan yang mana kita cuba mengejar kedudukan tiga terbaik liga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) KenTeam Sdn Bhd bersama lima rakan teknikal dan kontraktor bagi pembangunan kilang sarung tangan di Lipat Kajang, Jasin.

Majlis menandatangani MoU dan MoA itu turut disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Dalam pada itu, mengulas mengenai nasib Ketua Jurulatih Zainal Abidin Hassan, Justin berkata, perkara itu hanya akan diputuskan dalam mesyuarat bersama pengurusan dan pemegang taruh yang lain dalam masa terdekat.

Beliau secara peribadi bagaimanapun tidak meletakkan kesalahan di bahu ketua jurulatih meskipun keputusan yang diperoleh MUFC agak mengecewakan.

“Memang kita kecewa dengan ‘result’ sebab kita merasakan kita boleh lakukan lebih baik. Tapi untuk jadi lebih adil, kita tidak boleh menyalahkan jurulatih untuk segala-galanya.

“Dengan barisan pemain yang dia miliki sebelum ini, selain pelbagai masalah seperti gaji dan lain-lain ia mungkin menjadi penyumbang kepada kejatuhan moral seluruh pasukan yang mana kita akan berusaha keras untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

633
Kongsi :
Previous post Polis Melaka keluarkan 87 saman trafik
Next post Majikan tidak benarkan kakitangan kuarantin kendiri boleh dikenakan tindakan
Ubah saiz-+=