Negara mampu capai 80 peratus vaksin lengkap rakyat Disember

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BUKIT KATIL 6 Julai – Kerajaan yakin negara mampu mencapai sasaran 80 peratus rakyat menerima suntikan vaksin COVID-19 sepenuhnya menjelang Disember ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sasaran itu mampu dicapai apabila kerajaan mula menerima 12 juta vaksin bermula bulan ini sebagaimana dijelaskan Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini.

Katanya, ketibaan vaksin termasuk satu juta vaksin masing-masing sumbangan Jepun dan Amerika Syarikat semalam, sekali gus mampu meningkatkan pemberian vaksin secara puratanya 300,000 suntikan sehari kepada rakyat bermula bulan ini.

AHMAD AMZAD berbincang sesuatu dengan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra ketika meninjau PPV Dewan Tun Ali.

“Kita sebenarnya menyasarkan pemberian vaksin apabila memasuki November, kita dapat mencapai 80 peratus untuk keseluruhan negara bagi populasi 18 tahun ke atas.

“Manakala bagi keseluruhan populasi, sasaran kita 80 peratus dapat dicapai selewat-lewatnya hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Ali.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad berkata, sebanyak tujuh negeri mula memberikan suntikan fasa 2 yang membabitkan rakyat berusia 18 tahun ke atas.

AHMAD AMZAD beramah mesra dengan penerima vaksin di PPV Dewan Tun Ali.

“Lapan peratus daripada populasi 32 juta penduduk Malaysia telah menerima dua dos suntikan lengkap manakala 20 peratus dicapai bagi mereka yang telah menerima satu dos suntikan.

“Bagi fasa dua suntikan masih lagi berlangsung, ini bermakna fasa dua dan tiga berjalan secara serentak.

“Antara negeri yang sudah memulakan fasa tiga adalah Melaka, Wilayah Persekutuan Labuan, Putrajaya dan Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak dan Pulau Pinang,” katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sebelum idni dilaporkan berkata sebanyak sembilan juta dos suntikan diberikan kepada rakyat setakat semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

356
Kongsi :
Previous post Agong zahir penghargaan kepada Amerika Syarikat sumbang 1 juta vaksin Pfizer
Next post Melaka anjur pidato Rukun Negara peringkat kebangsaan
Ubah saiz-+=