Melaka anjur pidato Rukun Negara peringkat kebangsaan

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MELAKA 6 Julai – Kerajaan negeri Melaka menganjurkan Pertandingan Pidato Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat Peringkat Kebangsaan, Piala Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, bermula semalam.

Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam berkata, menerusi pertandingan pidato berkenaan, beliau berharap rakyat dapat meningkatkan kefahaman terhadap lima prinsip terkandung dalam Rukun Negara yang amat penting bagi mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan masyarakat.

“Justeru, hujah pidato mesti diperincikan menerusi frasa kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara dan frasa ketiga iaitu Keluhuran Perlembagaan berdasarkan situasi dalam negara yang lebih relevan untuk diperincikan.

“Saya berharap pertandingan pidato ini dapat melahirkan generasi yang mempunyai semangat patriotisme serta memahami peranan Rukun Negara terutamanya tentang Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan dalam pembentukan negara aman makmur dan maju tanpa mengira bangsa dan agama serta menyanjung institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tonggak negara Raja Berperlembagaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pada tahun lepas, pertandingan pidato berkenaan telah dilaksanakan bagi peringkat negeri yang diurusetiakan oleh Institut Tun Perak manakala tahun ini pula, pertandingan itu dilaksanakan di peringkat kebangsaan.

Tempoh pendaftaran penyertaan dibuka selama 27 hari bermula semalam hingga 31 Julai.

Pada masa sama, penyertaan boleh dibuat dengan peserta perlu menghantar rakaman video pidato masing-masing ke e-mel [email protected] pada tempoh yang telah ditetapkan.

Saringan pertama akan dilakukan pada 9 hingga 12 Ogos manakala peringkat separuh akhir bermula pada 16 hingga 17 Ogos, sebelum peringkat akhir pertandingan dilangsungkan pada 21 Ogos depan di Dewan Besar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Lima kategori dibuka untuk penyertaan membabitkan Kategori Awam, Institusi Pengajian Tinggi, Sekolah Menengah, Sekolah Rendah dan Bukan Melayu, yang menawarkan hadiah antara RM300 hingga RM5,000.

Maklumat lanjut berkaitan pertandingan berkenaan boleh hubungi urus setia pidato di talian 06-3174475/ 011-11117547 (Institut Tun Perak).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

518
Kongsi :
Previous post Negara mampu capai 80 peratus vaksin lengkap rakyat Disember
Next post Seminggu pujuk nenek 120 tahun ambil vaksin
Ubah saiz-+=