Seminggu pujuk nenek 120 tahun ambil vaksin

Masa Membaca:2 Minit, 41 Saat

ALOR GAJAH 6 Julai – Walaupun usianya sudah lebih seabad, itu bukan penghalang untuk seorang nenek hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Kampung Orang Asli Bukit Payung, di sini, hari ini.

Puchat Lubak, yang mendakwa usianya sudah mencecah 120 tahun (walaupun pada kad pengenalan dinyatakan berumur 92 tahun) menjadi individu tertua di kampung berkenaan menerima vaksin apabila hadir ke PPV Bergerak bertempat di pada jam 9.30 pagi tadi.

Dia yang hadir ditemani cucunya selesai disuntik kira-kira jam 10 pagi sebelum keadaannya dipantau rapi petugas kesihatan terlibat.

PUCHAT Lubak selepas menerima suntikan vaksin di Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, Melaka. Foto: MR. Azli

“Tak sakit pun (suntikan). Sekejap saja (beratur) sudah selesai.

“Nenek ambil vaksin sebab takut penyakit sekarang ini (COVID-19),” katanya dalam bahasa suku Temuan yang diterjemah cucunya, Asiah Jegap, 37.

Asiah yang ditemui mengakui pada awalnya agak sukar untuk meyakinkan neneknya itu mengambil vaksin.

Katanya, ia berikutan kepercayaan orang-orang lama yang lebih mempercayai tumbuh-tumbuhan dan akar kayu sebagai ubat berbanding perubatan moden.

“Hampir seminggu juga pujuk. Saya beritahu dia yang penyakit sekarang sudah makin teruk.

“Mula-mula memang dia tak nak, tapi lama-lama dia bersetuju dan akhirnya dia selesai disuntik dos pertama vaksin hari ini,” katanya.

Rami Song Song. Foto: MR. Azli

Sementara itu, bagi Rami Song Song, 62, yang turut menerima suntikan vaksin dos pertama hari ini turut mengakui pada awalnya berat hati untuk menerima vaksin kerana takut pada jarum.

Namun, setelah mendapat semangat daripada anak-anak dia akhirnya memberanikan diri dan akhirnya perasaan takut bertukar teruja apabila melihat beratus penduduk kampung turut hadir menerima vaksin.

“Memang saya takut jarum, tetapi apabila memikirkan keluarga dan keselamatan anak cucu, saya kuatkan diri juga.

“Lepas suntik memang seronok sangat sebab tak sakit langsung. Lepas ini nak jalan kemana-mana pun sudah tak takut lagi sebab sudah ada vaksin,” katanya yang hadir menerima vaksin bersama tujuh anaknya.

TOK Batin, Nur Isjemei Ismail. Foto: MR. Azli

Menurut Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Payung, Nur Isjemei Ismail, pada awalnya, lebih separuh daripada penduduk kampung berkenaan enggan menerima vaksin.

Ujarnya, pelbagai alasan diberikan antaranya takut pada jarum dan risau akan kesan sampingan vaksin.

Namun selepas Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mendahulukan pemimpin masyarakat sepertinya menerima vaksin pada hujung bulan lalu, penduduk mula percaya kepada vaksin dan akhirnya majoriti bersetuju untuk menerima vaksin berkenaan.

“Boleh dikatakan lebih 90 peratus penduduk kampung sudah bersetuju. Cuma mungkin ada lima peratus lagi yang masih takut.

“Apapun, kita akan terus memujuk mereka bagi memastikan kesemua penduduk kampung berusia 18 tahun ke atas, tiada yang tertinggal dalam menerima vaksin,” katanya.

Untuk rekod, dalam program suntikan vaksin COVID-19 melalui PPV Bergerak Mara Liner di kampung berkenaan, seramai 314 penduduk orang asli di kampung berkenaan telah diberikan suntikan vaksin jenis Sinovac dos pertama.

Program itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Henry Sum Agong yang diiringi Ahli Parlimen Masjid Tanah merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

508
Kongsi :
Previous post Melaka anjur pidato Rukun Negara peringkat kebangsaan
Next post Sheng Tai lahir 16 ‘influencer’ pelbagai bidang
Ubah saiz-+=