Agong zahir penghargaan kepada Amerika Syarikat sumbang 1 juta vaksin Pfizer

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KUALA LUMPUR 6 Julai – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada Amerika Syarikat (AS) atas sumbangan satu juta dos vaksin Pfizer bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi laman rasmi Facebook Istana Negara hari ini turut menyampaikan ucapan terima kasih Al-Sultan Abdullah kepada Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Brian McFeeters atas sumbangan itu.

“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

“Semoga sumbangan bekalan vaksin ini membantu negara memerangi pandemik COVID-19 dan memperhebatkan lagi PICK,” titah baginda menerusi laman sosial itu hari ini.

Selain itu, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba atas pelaksanaan kerjasama antara Malaysia dan AS dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin itu.

 

KHAIRY (kanan) bersama Hishammuddin (dua dari kini) dan Brian D. McFeeters (tengah) ketika menyambut ketibaan dos vaksin Pfizer di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Foto FB MOSTI.

 

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat di negara ini supaya bersama-sama berdoa agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan pandemik COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Semalam, sebanyak 1 juta dos vaksin jenis Pfizer BioNTech sumbangan AS tiba di Lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 8.10 pagi menerusi penerbangan Raya Airways, sehari selepas negara itu menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-245 tahun.

Sumbangan itu adalah sebahagian daripada 80 juta dos dijanjikan oleh Presiden AS Joe Biden kepada negara-negara maju dan membangun.

Khairy Jamaluddin, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bersama YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Negeri dan H.E. Mr. Brian D. McFeeters, Duta AS ke Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

312
Kongsi :
Previous post Saringan PeKa B40: 151,729 individu dikesan hidap penyakit tidak berjangkit
Next post Negara mampu capai 80 peratus vaksin lengkap rakyat Disember
Ubah saiz-+=