Nelayan mimpi lelaki tua ‘misai bertaring’, dapat mutiara oren Melo RM1.39 juta

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BANGKOK: Nasib sebuah keluarga nelayan miskin di sini bakal berubah apabila menjumpai mutiara oren Melo yang sangat jarang ditemukan bernilai 250,000 pound (RM1.3 juta) di pantai Thailand bulan lalu.

Mengikut laporan Daily Mail, Hatchai Niyomdecha, 37, sedang mengutip cengkerang bersama keluarganya di wilayah Nakhon Si Thammarat pada 27 Januari lalu dan menemui satu pelampung yang dibuang.

Dia mengambil pelampung itu yang diselaputi cengkerang termasuk tiga cengkerang siput dan membawanya pulang bersama adiknya, Worachat Niyomdecha,35.

Cengkerang siput itu diberikan kepada bapa mereka, Bangmad Niyomdecha, 60, yang memprosesnya dan menemui mutiara sebesar duit syiling 10 sen itu.

Mutiara melo terbentuk dalam cengkerang siput laut dikenali sebagai Melo Melo tidak seperti mutiara tradisional yang terdapat di dalam tiram.

MUTIARA oren Melo yang dijumpai keluarga Hatchai di pantai Nakhon Si Thammarat, Thailand. Foto kredit – AGENSI

Hatchai memanggil isterinya, Worachat Niyomdecha, 35, dan dua anak lelakinya untuk memeriksa mutiara seberat 7.68 gram itu bagi mengetahui nilainya.

Hatchai mendakwa beberapa hari sebelum kejadian, dia bermimpi aneh berjumpa seorang lelaki tua berpakaian serba putih dan bermisai panjang menyuruhnya pergi ke pantai itu dan akan mendapat hadiah.

“Saya mahu menjual mutiara itu dengan harga paling tinggi. Wang itu bukan sahaja dapat mengubah hidup saya bahkan akan mengubah masa depan kami sekeluarga menikmati kehidupan lebih baik,” katanya.

Hatchai berkata, sudah dua orang pembeli (peniaga dan pengumpul barang mewah) menyatakan minat untuk membeli mutiara itu, namun, harga yang ditawarkan tidak begitu tinggi, masing-masing satu juta baht (RM135,566.65) dan lima juta baht (RM677,833.27) menyebabkan dia menolaknya.

Namun, dia mungkin akan bersetuju dengan harga yang ditawarkan oleh seorang pembeli dari China yang menawarkan harga sebanyak 250,000 pound.

Pembeli terbabit dijangka terbang ke Thailand minggu depan kerana mahu melihat sendiri keaslian mutiara itu terlebih dulu sebelum membuat sebarang urus niaga.

Daily Mail sebelum ini melaporkan tuah milik seorang nelayan miskin dari Thailand, Chalermchai Mahapan, 20, selepas menemui ketulan lilin dipercayai muntah ikan paus, seberat tujuh kilogram dan bernilai 210,000 Pound (RM1.16 juta) pada 6 Januari lalu.

Views:

2040
Kongsi :
Previous post Takiyuddin sifatkan penulisan buku Tommy Thomas mengenai AGC dan mahkamah sebagai karut, ‘mala fide’
Next post COVID-19: kilang ayam di Serkam tidak patuh SOP, 604 pekerja positif
Ubah saiz-+=