Takiyuddin sifatkan penulisan buku Tommy Thomas mengenai AGC dan mahkamah sebagai karut, ‘mala fide’

Masa Membaca:2 Minit, 35 Saat

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menyifatkan kandungan buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ berhubung akauntabiliti pegawai di Jabatan Peguam Negara (AGC) dan mahkamah adalah karut, serta memberi jaminan akan bertindak mengikut undang-undang terhadap usaha memperkecilkan badan perundangan dan kehakiman.

Beliau juga berpandangan, buku biografi tulisan mantan peguam negara Tan Sri Tommy Thomas menjurus kepada unsur penghinaan dan bersifat ‘mala fide’, serta menjatuhkan integriti dan maruah institusi perundangan negara dan pegawai undang-undang.

“Setelah meneliti kandungan dan intipati buku tersebut secara tekun, saya turut terkesan dan merasakan banyak aspek dalam buku tersebut karut, terutama sekali apabila menyentuh soal akauntabiliti, ketelusan dan keadilan pegawai undang-undang yang bertugas di Jabatan Peguam Negara dan di mahkamah, di seluruh pelosok negara.

“Sebagai seorang bekas pegawai undang-undang di mahkamah pada tahun 1980an dan ahli Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA), saya percaya bahawa setiap pegawai undang-undang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip utama undang-undang,” katanya dalam surat terbuka kepada pegawai undang-undang dan kehakiman di sini hari ini.

Takiyuddin menjelaskan dengan berpegang kepada prinsip tersebut, pegawai terlibat akan sentiasa bertindak dalam ruang lingkup undang-undang, bebas dari sebarang pengaruh, dorongan, tekanan, ancaman atau gangguan, sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pihak.

Beliau berkata, AGC dan mahkamah merupakan institusi perundangan yang sentiasa bersikap terbuka, serta menerima baik segala pandangan dan cadangan dari dalam dan luar, mahupun kritikan yang membina.

“Inilah sikap kita yang menghormati prinsip ‘fundamental liberties’ atau kebebasan asasi yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita anggap teguran yang membina itu, boleh meningkatkan lagi kualiti pelaksanaan tugas kehakiman dan perundangan dalam kalangan pegawai kita.

“Bagaimanapun, teguran tersebut hendaklah dibuat dengan niat ikhlas dan dengan budi bahasa dan tanggungjawab yang munasabah dalam had undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu beliau percaya bahawa proses keadilan tidak boleh dilaksanakan dengan baik, lancar dan berkesan, tanpa sokongan daripada pegawai undang-undang di AGC dan mahkamah, serta pengamal undang-undang di sektor swasta.

Katanya integrasi serta kerjasama ketiga-tiga sektor ini, mampu memastikan undang-undang dan keadilan dapat ditegakkan dalam masyarakat.

Selain itu beliau yakin kebolehan, komitmen, dedikasi, kemahiran serta kejujuran pegawai undang-undang di badan perundangan dan kehakiman itu, tidak boleh dipersoalkan sama sekali.

Takiyuddin menjelaskan setiap tugasan yang dilaksanakan adalah mengikut lunas undang-undang secara tersurat mahupun tersirat, tidak sekali-kali mengikut selera sendiri malah jauh daripada bertujuan meraih populariti di mata mana-mana pihak.

“Justeru itu saya memberi jaminan pihak kerajaan akan sentiasa memerhatikan dan bertindak mengikut undang-undang, terhadap sebarang usaha memperkecilkan badan perundangan dan kehakiman serta pegawai-pegawainya,” katanya.

“Prinsip kedaulatan undang-undang perlu dijadikan garis panduan bagi setiap individu mahupun kumpulan, dalam membuat sesuatu keputusan dan pertimbangan. Semua pihak tertakluk kepada undang-undang, tiada yang lebih tinggi dari undang-undang, tanpa mengira kedudukan atau pangkat, semuanya tertakluk kepada undang-undang,” katanya.

Beliau juga menyeru kepada pegawai undang-undang di AGC dan mahkamah terus menanam azam dan semangat tinggi, untuk menjayakan tanggungjawab dan amanah diberikan bagi mendokong prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang Malaysia tanpa rasa takut atau berpihak kepada mana-mana.

Views:

235
Kongsi :
Previous post Tukang gunting, tauke cuci kereta tarik nafas lega
Next post Nelayan mimpi lelaki tua ‘misai bertaring’, dapat mutiara oren Melo RM1.39 juta
Ubah saiz-+=