Kasih nenek buat suami

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat
KARTINI cekap menanggalkan ikan tersangkut pada jaring di pangkalan nelayan Kampung Pantai Jaring, Pantai Puteri Tanjung Kling. Foto Din Ahmad

PANTAI KUNDOR 14 Julai – Tugas isteri bukan setakat di ceruk dapur, sebaliknya harus meringankan beban suami mencari rezeki demi kelangsungan hidup keluarga.

Meskipun sudah bergelar nenek kepada tiga cucu, Kartini Abdul Wahid, 50, tetap tabah membantu suami, Mohd Khir Jantan, 54, mencari rezeki kerana tugas berkenaan harus dipikul bersama-sama supaya keluarganya memiliki sumber kewangan mencukupi untuk membiayai kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kartini tidak pernah tertinggal untuk turun ke pangkalan nelayan di Kampung Pantai Jaring, iaitu satu daripada kawasan di Pantai Puteri, Tanjung Kling dekat sini bagi membantu suami menanggalkan ikan yang tersangkut pada jaring.

Beliau berkata, selepas menyempurnakan tugas memasak, membasuh pakaian dan mengemas rumah, beliau pasti membantu suami menanggalkan ikan bersaiz kecil seperti tamban, selangat, kekasih dan seumpamanya yang tersangkut pada jaring.

Katanya, ketika mula belajar menanggalkan ikan, kebanyakan ikan terputus dua, selain jaring tangsi terputus akibat ditarik dengan kuat tetapi lama-kelamaan tugas itu semakin mudah dan tidak menyebabkan ikan atau jaring terputus.

“Mula-mula dahulu memang saya tidak pandai menanggalkan ikan hingga menyebabkan banyak mata jaring putus tetapi sekarang alhamdulillah, tiada lagi mata jaring terputus.

“Begitu juga dengan ikan, jika dahulu banyak ikan tersiat isinya kerana ditarik dengan kuat, sekarang semua ikan cantik tanpa ada yang tersiat lagi,” katanya ketika ditemui di pangkalan itu baru-baru ini.

Ibu kepada tiga anak berusia antara 19 hingga 26 tahun itu berkata, suaminya tidak sempat menanggalkan ikan di tengah laut kerana jumlah ikan yang melanggar jaring diibaratkan seperti ‘buah rambai’ yang menyebabkan ia terpaksa ditanggalkan di daratan.

Beliau berkata, ikan segar yang baru ditanggalkan daripada jaring mendapat permintaan amat baik daripada pelanggan, terutama mereka yang sudah biasa memakan ikan yang baru didaratkan tanpa dikenakan air batu kerana rasanya yang lebih manis dan lazat berbanding ikan yang sudah dikenakan air batu.

Dengan menawarkan ikan berkenaan pada harga RM5 sekilogram, hasil tangkapan Mohd Khir tidak perlu dibiarkan telalu lama di atas meja, sebaliknya ‘disambar’ pelanggan dengan cepat, katanya,

Ada pelanggan yang sanggup menunggu Mohd Khir dan Kartini selesai menanggalkan ikan daripada jaring semata-mata untuk memastikan mereka memperoleh ikan segar untuk menjadi hidangan keluarga masing-masing.

Sementara itu, Mohd Khir berkata, jika beliau menanggalkan ikan di tengah laut, perahunya akan dihanyutkan oleh arus pasang atau surut jauh dari pangkalan nelayan di kampung berkenaan.

Sehubungan itu, beliau terpaksa membawa jaring bersama hasil tangkapan naik ke darat untuk menanggalkan ikan dengan dibantu isteri.

Views:

329
Kongsi :
Previous post Pelaksanaan penebusan GCR dikaji semula – Takiyuddin
Next post Malaysia tidak beri kewarganegaraan dengan mudah – KDN
Ubah saiz-+=