Norhizam enggan pulang hak kerajaan

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

PENGKALAN BATU 8 Okt – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee akan memulangkan semua aset dan keistimewaan kerajaan negeri jika 27 wakil rakyat termasuk EXCO yang lain melakukan perkara sama.

Beliau berkata, secara dasarnya kerajaan telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), namun beliau mempersoalkan hanya tiga bekas EXCO sahaja diminta memulangkan aset berkenaan.

“Saya Norhizam Hassan Baktee akan memulangkan kenderaan rasmi dan (bangunan) JAPERUN (Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelerasan DUN) setelah (semua) wakil rakyat memulangkannya.

“Dalam erti kata lain, saya berharap Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) memberikan masa dan tarikh supaya semua pihak (wakil rakyat) dapat memulangkan secara serentak dan terhormat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di JAPERUN Pengkalan Batu di sini, hari ini.

Ketika ditanya peletakan jawatan beliau sebagai Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Norhizam mempersoalkan peranan SUK.

“Meskipun saya telah meletakkan jawatan, DUN telah dibubarkan dan semua 28 wakil rakyat hilang keistimewaan, jadi tiada wakil rakyat dan tiada EXCO tetapi kenapa mesti ada ‘double-standard’ (pilih kasih).

“Saya tegaskan kalau ini berlaku (tidak memulangkan aset kerajaan secara serentak), saya sendiri akan menghantar bantahan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) di Putrajaya. Bukan saya tidak mahu pulangkan tetapi saya hendakkan keadilan,” katanya.

Semalam Norhizam menyuarakan ketidakpuasan hati kerana mendakwa dihalang menggunakan aset dan fasiliti kerajaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

825
Kongsi :
Previous post Perancangan Belanjawan 2022 ditangguhkan
Next post Melaka: Kerajaan buat keputusan minggu depan – PM
Ubah saiz-+=