Sorting by

×

NORLIZA PUAS HASILKAN 500 ANEKA KUIH SETIAP HARI

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

REMBIA 15 Ogos – Minatnya mendalam terhadap bidang masakan mendorong Noraliza Zahari, 37, membina jenama sendiri dalam perkhidmatan membekalkan aneka jenis kuih dan makanan khususnya bagi pasaran sekitar daerah Alor Gajah.

Bekas cef ini berkata, dia mula menghasilkan aneka kuih untuk jualan bagi mengisi masa yang terluang dan memastikan kemahiran memasak dimiliki tidak luntur selepas meninggalkan bidang perhotelan pada 2018.

Malah dia menganggap apa yang dinikmati sebagai satu nikmat dan rezeki daripada Allah SWT, kerana masih bertahan hingga sekarang meskipun pada awalnya cuma diusahakan secara kecil-kecilan sahaja.

“Mungkin kerana sudah terbiasa dengan kesibukan di tempat kerja lama sebelum ini saya tidak boleh ‘duduk diam’ selepas bergelar suri rumah, jadi saya ambil keputusan hasilkan kuih untuk dijual.

“Pasaran pertama saya adalah kedai milik rakan, pendapatan ketika itu cuma RM50 sahaja sehari, tetapi sudah cukup menggembirakan hati ini, kerana niat asal bukan untuk menjana pendapatan tetapi melepaskan keinginan memasak.

“Alhamdulillah selepas tujuh tahun perniagaan kecil-kecilan ini semakin berkembang, bukan setakat kuih ada juga pelanggan yang membuat tempahan makanan berat,” katanya yang berasal dari Kampung Jelatang.

Ibu kepada tiga anak ini berkata, setiap hari dia akan menghasilkan 500 jenis aneka kuih seperti nona manis, kuih cara, seri muka, puteri ayu, talam berlauk, kuih ku dan popia sira bergantung kepada tempahan pelanggan.

Norliza berkata, selain kedai makan dia turut menerima tempahan daripada agensi dan jabatan kerajaan, pihak hospital, pejabat dan syarikat swasta sekitar daerah ini bagi jamuan untuk penganjuran majlis tertentu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1084
Kongsi :
Previous post PENDAKWAH PUJI INISIATIF WRUR MELAKA
Next post PESERTA PELBAGAI KAUM MERIAHKAN BENGKEL DONDANG SAYANG